Monday 4 March 2013

Sinopsis I La Galigo



Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia.  Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi).  Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.
Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah.  Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.
Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam.  Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.
Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng.  Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama.  Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.
Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi.  Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga.  Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.
Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa.  Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain.  Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib.  Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau.  Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling.  I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu.  Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri.  Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja.  Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini. 


3 comments:

Anonymous said...

terima kasih atas input yang bermanfaat ni ye..:)

Anonymous said...

maklumat tentang galigo menarik minta sy...kalau boleh letakkan petikan2 dari buku galigo tu...lagi mantap!hehe

Anonymous said...

Ice Hockey Betting Odds & Line Movement 11bet 11bet 온카지노 온카지노 bet365 bet365 320Ultimate Texas Holdem - Online casino in japan