Friday, 15 March 2013

PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM KARYA AGUNG DUNIA I LA GALIGO

PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM KARYA AGUNG DUNIA
I LA GALIGO
PENULIS:
SURAYA BINTI SAPAR
DAYANG SITI NURAMALINA
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

ABSTRAK
Teori Falasafah Bahasa terhasil daripada kesepaduan Teori Relatif dan juga Teori Kenuranian  Bahasa. Kesempurnaan dalam berbahasa dapat dilaksanakan dengan mengambil kira tiga prinsip asas, iaitu yang pertama adalah berbahasa mengikut nahu supaya maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar dan yang terakhir adalah berbahasa untuk tujuan ibadah ataupun mentauhidkan Allah. Budaya dan bahasa tidak dapat dipisahkan malahan menjadi bingkai untuk melihat pemikiran sesebuah masyarakat untuk berkomunikasi. Tambahan pula, kelangsungan hidup sesuatu bahasa sangat dipengaruhi oleh aturan yang terjadi dalam masyarakat penuturnya. Dengan ini, budaya yang ada di sekeliling bahasa tersebut akan turut terikut menentukan wajah dari bahasa tersebut.Selain itu, bahasa dan budaya juga merupakan dua sistem yang melekat pada manusia. Jikalau budaya tersebut adalah sistem yang mengatur interaksi manusia dalam masyrakat, maka kebahasaan adalah satu sistem yang berfungsi sebagai sarana atau alat berlangsungnya interaksi tersebut. Di samping itu, bahasa merupakan perantaraan dalam proses komunikasi manusia. Bahasa juga sebagai simbol komunikasi yang sangat berkait rapat dengan penggunanya. Pengguna pula amat berkait rapat dengan sistem budaya yang dianuti. Sistem budaya pula sangat berkaitan dengan sistem sosial masyarakat di tempat mereka berada. Bahasa dengan sifat kedinamikannya berkait rapat dengan interaksi pengguna, perlakuan, budaya dan juga persekitaran.

1.0              Pengenalan
Komunikasi atau berbahasa merupakan asas dalam kehidupan seseorang manusia. Selain itu, perkembangan bahasa merupakan sebuah proses yang bermula awal dalam kehidupan manusia, iaitu ketika seseorang mulai menguasai bahasa dengan belajar. Di samping itu, perkembangan bahasa anak-anak bermula dari yang sederhana sampai kepada yang kompleks. Namun demikian, dalam usia empat bulan, bayi boleh membaca bibir dan membezakan bunyi ujaran. Bahasa yang disebut bayi dikenali sebagai mengoceh.
            Komunikasi juga ibarat sebuah nadi dalam sesebuah organisasi yang menggerakkan fungsi pengurusan sesebuah organisasi. Tambahan pula, komunikasi juga menjadi medium penyebaran maklumat daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Oleh itu, sistem pengurusan organisasi mahupun masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi. Pengurusan dan pentadbiran juga akan menjadi semakin cekap sekiranya semakin berkesan sistem komunikasi diamalkan.
            Selain itu, sistem komunikasi juga perlu melalui kaedah yang betul dengan etika yang baik untuk memastikan keberkesanannya sama ada komunikasi tersebut melalui saluran rasmi ataupun tidak rasmi. Ilmu komunikasi merupakan ilmu yang dipelajari oleh manusia supaya memudahkan seseorang menyampaikan apa-apa yang terkandung dalam fikirannya kepada orang lain. Di samping itu, manusia bukan sahaja menggunakan komunikasi ini hanya sebagai menyampaikan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan. Walaupun binatang tidak dikurniakan akal fikiran seperti manusia, namun ia juga mudah memahami maksud yang disampaikan oleh manusia. Perkembangan komunikasi semakin berkembang dengan wujudnya alat-alat komunikasi seperti telefon, telegraf radio, dan alat-alat komunikasi yang lain.
            Terdapat tiga prinsip-prinsip asas dalam Teori Falsafah Bahasa, iaitu prinsip asas pertama dalam Teori Falsafah Bahasa adalah berbahasa mengikut nahu, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar dan prinsip yang ketiga adalah berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T.
            I La Galigo merupakan epik yang terpanjang di dunia dan wujud sebelum epik Mahabrata. I La Galigo mengandungi sebahagian besar puisi yang ditulis dalam bahasa bugis lama. Epik tersebut mengisahkan kisah Sawerigading, seorang pahlawan yang gagah berani dan juga perantau. Namun demikian, I La Galigo tidak boleh diterima sebagai teks sejarah kerana teks tersebut penuh dengan mitos dan peristiwa-peristiwa luar biasa.

2.0              Sinopsis I La Galigo
Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia.  Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi).  Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.
Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah.  Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.
Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam.  Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.
Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng.  Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama.  Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.
Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi.  Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga.  Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.
Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa.  Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain.  Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib.  Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau.  Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling.  I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu.  Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri.  Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja.  Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini. 

3.0              I La Galigo di Malaysia dan Riau
Kisah Sawerigading cukup terkenal dalam kalangan keturunan Bugis dan Makassar di Malaysia. Penceritaan tersebut dibawa sendiri oleh Bugis yang bermigrasi ke Malaysia. Terdapat juga unsur Melayu dan Arab yang serap sama.
            Pada abad ke-15, Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah diserang oleh Keraing Semerluki dari Makassar. Semerluki yang disebut ini berkemungkinan adalah Karaeng Tunilabu ri Suriwa, putera pertama kerajaan Tallo’, iaitu nama sebenarnya ialah Sumange’rukka’ dan beliau berniat untuk menyerang Melaka, Banda dan Manggarai.
            Perhubungan yang jelas muncul selepas abad ke-15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan tersebut, Goa dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo’. Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh Belanda dan sekutunya La Tenritta’ arung Palakka dari Bone. Hal ini menyebabkan ramai Bugis dan Makassar bermigrasi ke tempat lain. Contohnya, serombongan Bugis tiba di Selangor di bawah pimpinan Daeng Lakkani. Pada tahun 1681, seramai 150 orang Bugis menetap di Kedah. Manakala sekitar abad ke-18, Daeng Matokko’ dari Paneki, iaitu sebuah daerah di Wajo’ menetap di Johor. Sekitar tahun 1714, dan juga 1716, adik beliau, iiatu La Ma’dukelleng, juga ke Johor. La Ma’dukelleng juga digelar sebagai ketua lanun oleh Belanda.
            Walaubagaimanapun, keturunan Opu Tenriburong memainkan peranan penting apabila mereka membuat penempatan di Kuala Selangor dan Klang. Keturunan ini juga turut dimahkotakan sebagai Sultan selangor dan Sultan Johor. Malahan, kelima-lima anak Opu Tenriburong memainkan peranan yang penting dalam sejarah di kawasan tersebut. Daeng Merewah menjadi Yang diPertuan Riau. Daeng Parani berkahwin dengan puteri-puteri Johor, Kedah, dan juga Selangor.

4.0       Prinsip Asas Pertama dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah Bahasa. Prinsip tersebut menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya agar maklumat yang yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya.
            Antara elemen-elemen penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa adalah terdiri daripada sumber, saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan juga persekitaran. Bahasa merupakan suatu sistem. Hal ini membuktikan bahawa bahasa itu lengkap dan sempurna dari segi peraturan ataupun polanya.
            Selain itu, bahasa juga terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa mahupun nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis.
            Di samping itu, penggunaan perkataan yang difahami umum (denotatif) juga amat penting agar pendengar dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas akan meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.
            Perkongsian makna juga amat penting dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Komunikasi merupakan proses apabila kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi makna antara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. Perkongsian di sini bermaksud perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur dan juga pendengar dalam suatu proses komunikasi. Sesuatu isyarat, maklumat mahupun bahasa mungkin memberi makna yang berbeza antara penutur dengan pendengar.
            Selain itu, komunikasi yang baik akan berlaku sekiranya penutur dan pendengar bersetuju dengan penggunaan sesuatu bahasa dan bahasa tersebut dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua pihak. Namun demikian, masalah akan berlaku dalam komunikasi sekiranya timbul masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan juga nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya manusia berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin disampaikan kepda setiap individu dapat dicapai objektifnya.
            I La Galigo merupakan sebuah sejarah mitos penciptaan dari peradaban Bugis di Sulawesi Selatan (sekarang bahagian dari Republik Indonesia) yang ditulis di antara abad ke-13 dan juga abad ke-15 dalam bentuk puisi bahasa Bugis kuno, ditulis dalam huruf Lontara kuno Bugis. Versi bahasa Bugis asli I La Galigo sekarang hanya dapat difahami oleh kurang seratus orang. Hanya sebahagian sahaja daripada teks I La Galigo yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan tidak ada versi lengkap dalam bahasa Inggeris. Namun demikian, terdapat sebuah buku yang menceritakan I La Galigo secara ringkas dengan menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Indonesia dan juga bahasa Inggeris. Buku tersebut bertajuk ‘The Birth of I La Galigo’. Walaupun buku tersebut menggunakan bahasa Indonesia, namun pembaca dapat memahami isi kandungan buku tersebut. Mesej yang ingin disampaikan melalui buku tersebut juga tercapai kerana dapat difahami oleh pembaca. Buku tersebut juga turut menceritakan cara Sawerigading dalam mendapatkan I We Cudai. Berikut merupakan petikan yang terdapat dalam buku tersebut:
“Bagian yang konon paling digemari oleh masyarakat Bugis adalah yang mengungkapkan bagaimana Sawerigading berusaha mendapatkan I We Cudai. Putri yang sangat jelita dari Alecina ini mula-mula tidak mau dan merasa malu menerimanya sebagai suami tetapi karena kalah perang akhirnya terpaksa talkuk juga, dengan syarat yang hampir tidak mungkin dilaksanakan oleh Sawerigading. Namun dengan bantuan dua ekor kucing, Sawerigading berhasil menggauli I We Cudai dan mendapatkan anak, meskipun dalam proses hubungan mereka itu keduanya tak pernah saling melihat karean I We Cudai sebenarnya malu diperistri Sawerigading. Di atas tempat tidur yang gelap gulita, yang dikelilingi tujuh lapis kelambu, dilingkari tujuh lapis dinding, dijaga oleh sejumlah besar punggawa, Sawerigading berhasil melaksanakan tugasnya sebagai suami...”
“I We Cudai merasa sangat malu ketika mengidam dan kemudian melahirkan; bahkan tidak mau melihat anaknya sendiri. Anak yang baru lahir itu pun diperintahkannya untuk dibuang atau dibunuh, namun madunya dengan bangga dan setia mengurus anak tirinya sehingga besar dan perkasa. Anak itu adalah I La Galigo, yang sesudah dewasa bertemu dengan ibunya yang sejati, yang terpesona oleh kecakapan dan keperkasaannya. I We Cudai akhirnya juga menerima Sawerigading sebagai suaminya...”
(The Birth of I La Galigo, 2005:14)
Berdasarkan petikan tersebut, mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca tercapai walaupun bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia. Bahasa yang yang digunakan adalah mudah dan dapat difahami oleh pembaca, iaitu mengisahkan tentang kelahiran I La Galigo. Ha ini bermakna terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Indonesia memudahkan pembaca dapat mengetahui serba sedkit mengenai sejarah I La Galigo. Perkataan yang digunakan dalam buku tersebut juga adalah mudah dan tidak sukar untuk mengetahui maknanya. Oleh itu, walaupun terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Melayu belum pernah dilakukan, namun bahasa Indonesia yang mudah digunakan dapat menyampaikan mesej kepada pembaca tentang sejarah I La Galigo. Justeru itu, perkataan yang mudah digunakan serta bahasa yang dapat difahami oleh pembaca memudahkan peyampaian mesej berlaku kepada pembaca.
http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcR6H3tPSGHt8emu2qfAq3Ikbs-CnLAxHx6o_Zwx_stFewAnv7Ao
Gambar 1: Tulisan Lontara
http://sudewi2000.files.wordpress.com/2008/10/naskah-la-galigo-3-foto-nurhayati-rahman.jpg
Gambar 2: Tulisan Lontara dalam teks I La Galigo
http://d.gr-assets.com/books/1267806276l/7819851.jpg
Gambar 3: Muka depan buku ‘The Birth of I La Galigo’


5.0       Prinsip Asas Kedua dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar
Teori Falsafah Bahasa ini turut menitikberatkan bahawa tujuan berbahasa adalah untuk menyampaikan maklumat yang benar dan betul. Hal yang demikian ini selari dengan firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2012:70) yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
                          (Surah Al-Ahzab 33:70)
Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata.  Seseorang itu hendaklah menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai.  Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan fitnah.
Dalam agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan tersebar dalam kalangan masyarakat.  Perkara ini mengkehendaki seseorang itu untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami oleh orang lain.
Karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai atau sebaliknya.  I La Galigo merupakan sebuah karya sastera yang lahir daripada pembentukan realiti dengan dunia ideal yang diyakini kebenarannya.  Hal yang demikian ini disebabkan oleh karya tersebut telah menjadi pegangan kepada kehidupan masyarakat Bugis sejak dahulu lagi.
Pada asasnya, masyarakat Bugis merupakan salah satu komuniti yang mempunyai struktur masyarakat yang sangant spesifik.  Ciri-ciri kebudayaan masyarakat tersebut juga masih kekal dan dapat ditelurusi jejaknya dari zaman lampau sehinggalah kini.  Kenyataan ini terbukti berdasarkan peninggalan-peninggalan bertulis yang terdapat di dalam karya I La Galigo.
Setiap peristiwa dan penceritaan tokoh-tokoh dalam Galigo merupakan gambaran kehidupan sebenar masyarakat awal Bugis.  Hal yang demikian ini menandakan bahawa karya sastera ini bukan sahaja memiliki nilai estetikanya yang tinggi, malah masyarakat lain yang membaca karya ini mengetahui keadaan yang merangkumi kepercayaan, adat dan budaya masyarakat Bugis.  Perkara ini bertepatan dengan prinsip falsafah bahasa yang menekankan berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar.
Selain itu, karya agung Bugis ini juga menyampaikan maklumat mengenai sejarah awal Bugis.  Menurut La Galigo, kerajaan pertama Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwu’ dan Tompoktikka.  Luwuk mendapat kedudukan yang istimewa kerana beliau dianggap sebagai ketua Bugis.  Namun begitu, pada abad ke-15, berlaku perubahan di dalam sosio-politik, ekonomi dan agama kerana berlakunya migrasi penduduk.
Penanaman padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda mula diperkenalkan dalam bidang ekonomi ketika itu.  Adat membakar mayat di sesetengah kawasan atau tempat turut diamalkan, iaitu dari sudut agama.  Pada akhir abad ke-15, telah muncul beberapa kerajaan baru yang menentang kerajaan Luwu’.  Misalnya, Gowa (Makassar), Bone dan Wajo’. Kematian seorang raja Luwu’, iaitu Dewaraja menyebabkan berlakunya perebutan dinasti untuk memerintah Tanah Ugi’.  Dikatakan bahawa Gowa bersekutu dengan Bone menawan Luwuk dan akhirnya berpengaruh besar terhadap Sulawesi Selatan.
Di samping itu, La Galigo menyimpan segala budaya dan peradaban manusia Bugis yang kedudukannya tinggi dan besar sifatnya yang pernah wujud dalam sejarah, kebudayaan dan tamadun Bugis. Jika dilihat tertulis di dalam La Galigo mengenai kebudayaan masyarakat Bugis yang gemar berlayar, merantau dan berdagang.  Kenyataan ini terbukti daripada perwatakan Sawerigading dan anakandanya, iaitu I La Galigo yang terkenal sebagai kapten kapal yang gagah.
Dikisahkan bahawa sepanjang pelayaran dan perantauan, mereka telah berkenalan dan berkomunikasi dengan dunia luar sehingga memungkinkan lahirnya wawasan yang luas.  Dengan erti kata lain, memberi peluang kepada mereka untuk mencipta pembaharuan terhadap kehidupan masyarakat tersebut.  Oleh itu, kemampuan masyarakat Bugis dalam mencipta perahu, rumah, hukum pelayaran Amanna Gappa dan sebagainya dapat diketahui melalui karya ini.
Tambahan pula, penyampaian I La Galigo membenarkan masyarakat lain mengetahui aktiviti perdagangan masyarakat awal Bugis.  Sejak berabad-abad yang lalu, masyarakat Bugis telah menjelajahi hampir keseluruhan pelusuk Nusantara, Australia, Filipina, China dan Madagaskar. Sebahagian kecil mengenai aktiviti dagangan ini disebutkan di dalam karya terpanjang ini.  Mereka dikatakan membawa dagangan yang berupa hasil laut, emas dan besi.

6.0       Prinsip Asas Ketiga dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Tujuan Ibadat atau Mentauhidkan Allah S.W.T
Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini.  Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardhu, puasa dan sebagainya.  Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya.  Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Hubungan manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku.  Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam itu sendiri.  Keseimbangan antara kedua-dua perkara itu mempengaruhi kehidupan seseorang yang lebih baik dan bertamadun.
Hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula dikenali sebagai komunikasi secara mendatar.  Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara bersemuka atau berkomunikasi dengan makluk lain seperti jin, nunian, flora atau fauna. Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu.  Misalnya, komunikasi antara kita dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakan.
Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat.  Jelas bahawa berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut.
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.  Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah S.W.T.  Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Berdasarkan epik atau karya sastera Bugis, iaitu I La Galigo dapat diketahui bahawa keadaan awal masyarakat Bugis  setelah kemasukan agama Islam di tanah mereka. Menurut pendapat Andi Muhammad Akhmar yang dipetik oleh Gusti Grehenson (2012) dalam penulisannya menyatakan bahawa sastera agung Bugis ini tidak hanya dinikmati sebagai sastera sahaja tetapi sebagai pencetus Islami kepada masyarakat Bugis.
Kemasukan agama Islam dalam kalangan masyarakat Bugis berlaku tanpa menyingkirkan unsur-unsur lama mereka tetapi menyesuaikannya dengan unsur Islam. Seperti yang diketahui bahawa, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan telah menganut kepercayaan kuno yang dikenali sebagai kepercayaan terhadap Dewa atau Dewata Seuwae (Tuhan yang Tunggal).
Lazimnya, karya I La Galigo yang juga disebut sebagai manuskrip La Galigo merupakan warisan masyarakat Bugis yang merangkumi empat aspek, iaitu keagamaan, kitab suci, tradisi dan kesenian. Berdasarkan pembacaan karya tersebut, masyarakat Bugis mempercayai ajaran daripada Galigo bahawa Dewa tertinggi mereka ialah La Patingga yang bermukim di kerajaan langit dan Guru Ri Selleng yang bermukim di kerajaan ghaib sebelum menganut agama Islam.
Berdasarkan kepercayaan itulah, lahirnya upacara dan tradisi masyarakat Bugis yang masih dapat ditemui dalam kebudayaan masyarakat mereka.  Bissu dan Sanro merupakan penajaga dan penyelamat La Galigo.  Bissu dikenali sebagai pendeta banci yang berperanan sebagai penghubung antara manusia dengan dewa, manakala Sanro pula berperanan sebagai pengamal yang berada di belakang layar selain bertugas menyediakan peralatan, bahan-bahan dan alat upacara.
Hampir keseluruhan upacara yang menjadi kebiasaan manusia ketika itu, didampingi oleh Bissu dan Sanro.  Misalnya, upacara penurunan padi, naik rumah dan sebagainya.  Fenomena seperti ini menggambarkan bahawa La Galigo berkait rapat dengan agama khasnya selain daripada tradisi dan kesenian masyarakat Bugis itu sendiri.
Terdapat pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menerapkan unsur-unsur kejiwaan yang telah diadaptasikan malahan didialogkan sehingga terpancarnya corak kebudayaan Islam dengan wajah Bugis atau disebut sebaai kebudayaan Bugis yang berwajaha Islam.  Jadi, tidak hairanlah sekiranya kita menemui doa Bissu yang ada menyebut Patatoqe sebagai Dewa yang tunggal.
Sungguhpun dalam La Galigo juga, Dewa tidak bersifat tunggal kerana masyarakat Bugis mengatakan bahawa Dewa bersifat beranak-pinak atau  sebaliknya.  Bahkan, di dalamnya juga dapat ditemui konsep siriq yang kemudiannya diadaptasi dengan konsep jihad selaras dengan ajaran agama Islam.
La Galigo dianggap sebagai kitab suci dan sumber agama bagi penganut agama To ri Olo masyarakat Bugis.  Hal yang demikian disebabkan oleh karya epik tersebut mewariskan sejumlah tradisi yang saling berkaitan dengan pelbagai upacara suci dan sakral.  Dikatakan bahawa, dalam upacara suci dan sakral itu kebiasaannya akan diiringi dengan pemotongan haiwan yang disertai dengan pembacaan sureq La Galigo.
Menurut pendapat Tol yang dipetik oleh Nurhayati Rahman (2008) menyatakan bahawa tiada pembacaan teks La Galigo tanpa diiringi upacara keagamaan. Bukan itu sahaja, sebelum pembacaan dilakukan seharusnya mengadakan persembahan sajian, dupa atau pemotongan ayam atau kambing.  Perlakuan membaca salah satu fragmen yang terdapat dalam Galigo dikatakan boleh menyembuhkan penyakit, tolak bala dan sebagainya.
I La Galigo diketahui umum bahawa tidak banyak terpengaruh dengan agama Islam, akan tetapi berdasarkan prinsip falsafah yang ketiga ini dapatlah dikaitkan bahawa terdapat kisah yang unik mengenai Sawerigading yang memaparkan pentauhidan kepada Allah S.W.T.  Menurut kepercayaan sebahagian masyarakat Bugis, Sawerigading yang diceritakan di dalam karya tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa kerana beliau merupakan keturunan dewa, malahan sebahagian masyarakat itu menganggapnya sebagai Nabi yang diturunkan ke bumi.
Berdasarkan kisah perjalanan beliau ke pelbagai buah negara, lahir beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa Sawerigading pernah bertemu dengan Nabi Muhammad.  Dalam pertemuan itu, mereka sempat berbincang dan berlawan antara satu sama lain.  Semasa perlawanan antara Sawerigading dengan Baginda, berlaku perlawanan seri antara kedua-duanya.  Di akhir perlawanan itu, Sawerigading mengakui dan tidak menafikan akan kehebatan Baginda.
Karya tersebut juga telah mempengaruhi sebahagian kepercayaan masyarakat Bugis kerana menurut mereka, Sawerigading mempunyai ajaran atau anutan yang hampir serupa dengan ajaran Islam.  Misalnya, solat dan haji, akan tetapi berbeza dari segi pelaksanaannya.  Sawerigading juga menggalakkan anak cucunya untuk mengunjungi Mekah.
Namun begitu, menurut pengkaji, karya agung ini tidak tepat sekiranya dikaitkan dengan prisnsip berbahasa yang ketiga, iaitu berbahasa untuk mentauhidkan Allah kerana karya ini penuh dengan mitos dan lagenda.  Misalnya, mitos penciptaan oleh Dewa langit dengan mengirimkan anaknya yang digelar Batara Guru dan We Nyili’ Timo, puteri kepada Dewa Alam Ghaib.
Umumnya, Sawerigading yang memiliki kekuatan luar biasa seperti beliau berkemampuan untuk naik ke langit dan turun ke bumi, meredakan angin ribut dan sebagainya seolah-olah beliau merupakan nabi.  Bahkan, karya ini juga lahir sebelum datangnya ajaran agama Islam.  Namun begitu, setelah pengaruh Islam meresap dalam sebahagian masyarakat Bugis pada abad ke-15, mereka telah menyesuaikan konsep dewa itu kepada Tuhan dan sebagainya tanpa mengubah kebudayaan masyarakat itu.


7.0       Kesimpulan
Pelbagai usaha yang melibatkan penterjemahan karya ini kepada bahasa-bahasa lain. Sebenarnya usaha tersebut memperlihatkan betapa pentingnya berbahasa kerana dapat menyampaikan idea atau perasaan seseorang itu.  Ternyata bahawa dengan berbahasa, seseorang itu dapat mengajarkan atau memberitahu sesuatu kepada masyarakat.  Misalnya, karya I La Galigo ini yang memberitahu kepada masyarakat lain mengenai keunikan masyarakat Bugis sejak berabad-abad dahulu lagi.
Walaupun pengarang karya agung ini masih tidak ketahui, namun sumbangannya dalam menggambarkan peranan berbahasa sangat besar kerana sebahagian daripada keadaan masyarakat Bugis dapat ditelurusi secara mendalam oleh masyarakat lain yang ingin mengetahuinya.  Jelas bahawa, ketiga-tiga prinsip bahasa yang dibincangkan di atas menggambarkan kepada kita bahawa berbahasa merangkumi kemahiran tatabahasanya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar dan  akhirnya kembali semula kepada Allah dalam mentauhid-Nya.



1 comment:

Anonymous said...

Satu kajian yg menarik, teruskan pengkajian dan semoga berjaya...