Tuesday 2 April 2013

I La Galigo di Malaysia dan Riau



Kisah Sawerigading cukup terkenal dalam kalangan keturunan Bugis dan Makassar di Malaysia. Penceritaan tersebut dibawa sendiri oleh Bugis yang bermigrasi ke Malaysia. Terdapat juga unsur Melayu dan Arab yang serap sama.
            Pada abad ke-15, Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah diserang oleh Keraing Semerluki dari Makassar. Semerluki yang disebut ini berkemungkinan adalah Karaeng Tunilabu ri Suriwa, putera pertama kerajaan Tallo’, iaitu nama sebenarnya ialah Sumange’rukka’ dan beliau berniat untuk menyerang Melaka, Banda dan Manggarai.
            Perhubungan yang jelas muncul selepas abad ke-15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan tersebut, Goa dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo’. Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh Belanda dan sekutunya La Tenritta’ arung Palakka dari Bone. Hal ini menyebabkan ramai Bugis dan Makassar bermigrasi ke tempat lain. Contohnya, serombongan Bugis tiba di Selangor di bawah pimpinan Daeng Lakkani. Pada tahun 1681, seramai 150 orang Bugis menetap di Kedah. Manakala sekitar abad ke-18, Daeng Matokko’ dari Paneki, iaitu sebuah daerah di Wajo’ menetap di Johor. Sekitar tahun 1714, dan juga 1716, adik beliau, iiatu La Ma’dukelleng, juga ke Johor. La Ma’dukelleng juga digelar sebagai ketua lanun oleh Belanda.
            Walaubagaimanapun, keturunan Opu Tenriburong memainkan peranan penting apabila mereka membuat penempatan di Kuala Selangor dan Klang. Keturunan ini juga turut dimahkotakan sebagai Sultan selangor dan Sultan Johor. Malahan, kelima-lima anak Opu Tenriburong memainkan peranan yang penting dalam sejarah di kawasan tersebut. Daeng Merewah menjadi Yang diPertuan Riau. Daeng Parani berkahwin dengan puteri-puteri Johor, Kedah, dan juga Selangor.

No comments: