Maka oleh Tun Tuah dielaknya
sambil bertelut menyalahkan tikam Taming Sari itu; maka kena papan khambi
dinding paseban itu. Maka keris Taming Sari pun lekat. Maka Tun Tuah pun segera
berbangkit lalu berdiri bertitar-titar di hadapan Taming Sari. Maka dihunus
kerisnya. Maka oleh Taming Sari itu ditendangnya; papan khambi itu roboh. Maka
keris pun tercabut pada khambi itu maka diusirnya akan Tun Tuah, dipertubi-tubi
tikam. Maka Tun Tuah pun melompat ke kanan dan ke kiri menyalahkan tikam Taming
Sari itu, seperti tidak berjejak di bumi lakunya. Maka Tun Tuah pun lelah
ternganga-nganga seperti anjing lelah. Maka Tun Tuah pun melompat serta
ditikamkannya dada Taming Sari, serta katanya, “Ceh, mati perajurit Taming Sari
olehku. Maka ditikamnya, kena dadanya terus terbayang-bayang ke belakangnya.”
Dari sudut falsafah, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi
kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat Melayu kerana keberanian dan budi
pekerti yang ditunjukkan seperti di dalam hikayat. Sebagaimana yang terdapat
dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah
serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh
penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu
sendiri. Sebenarnya, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah
yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki
pelbagai kelebihan.
Segala
tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri
serta yang tersirat. Di sini dapat dilihat bahawa begitu banyak falsafah yang diselitkan
oleh penulis karya Hikayat Hang Tuah. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah
digambarkan sebagai seorang yang begitu hebat semasa menghadapi sebarang pertarungan
sehingga kadang-kadang penulisannya hampir bersifat hiperbola. Namun demikian,
motif penulisan yang disampaikan melalui watak Hang Tuah ini hanyalah satu,
iaitu berkaitan tentang seorang pejuang bangsa, kekuatan, kesetiaan.
Selain itu, melalui petikan tadi juga, kita dapat melihat
bahawa pemilihan frasa dalam penulisan Hikayat Hang Tuah juga sebenarnya
melambangkan keunikan falsafah yang digunakan dalam bentuk penceritaan:
Maka keris pun tercabut pada
khambi itu maka diusirnya akan Tun Tuah, dipertubi-tubi tikam. Maka Tun Maka
Tun Tuah pun melompat ke kanan dan ke kiri menyalahkan tikam Taming Sari itu,
seperti tiada berjejak di bumi lakunya. Maka Tun Tuah pun lelah
ternganga-nganga seperti anjing lelah”.
Frasa ini ditonjolkan dalam bentuk falsafah yang
bermaksud bahawa bangsa Melayu tidak akan mudah untuk menyerah kalah dan mampu
berjuang berhabis-habisan walaupun berada dalam kepenatan. Namun, ini hanyalah
sebahagian daripada frasa yang melambangkan falsafah. Namun, apa yang ingin
ditekankan ialah ketokohan Hang Tuah atau penulisan karya ini merupakan salah
satu sumber kekuatan dan kemasyuran bangsa Melayu yang telah disampaikan dengan
bentuk falsafah yang tersirat dan masih lagi diguna pakai sehingga ke hari ini.
Falsafah seterusnya yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah
ialah falsafah ilmu persilatan. Seni silat seperti yang telah diketahui kebiasaannya
dikaitkan dengan kepahlawanan dan keberanian seseorang pendekar. Antara tokoh
hebat dalam ilmu tersebut adalah Hang Tuah Lima Bersaudara. Dalam hikayat ini terdapatnya penyataan mengenai ilmu
peperangan yang berkaitan rapat ataupun sememangnya sama dengan silat walaupun
perkataan silat itu sendiri tidak pernah tercatat. Berkemungkinan istilah silat
itu sendiri diperkenalkan pada abad yang lebih awal seperti abad ke-17 hingga
20 Masihi. Dalam hikayat ini, penulis tidak pernah menyatakan jenis silat yang
dipelajari oleh Hang Tuah. Tetapi yang disebut adalah mengenai ilmu-ilmu
tertentu yang berkaitan dengan pertahanan diri dan pertempuran seperti ilmu
perajurit, ilmu hulubalang dan ilmu isyarat hulubalang serta ilmu firasat.
Perguruan silat oleh Hang Tuah berlaku dalam dua peringkat.
Peringkat pertama menurut Hikayat Hang Tuah ialah di Bentan, beliau telah
berguru dengan Sang Aria Putera. Peringkat kedua pula ialah dengan Sang
Persanta Nala di Majapahit. Perguruan silat peringkat pertama adalah setelah
kejayaan beliau dan empat saudaranya menewaskan sekumpulan lanun. Hang Tuah
telah mengajak empat saudaranya berguru kepada ahli pertapaan Sang Aria Putera
dari Majapahit. Petikan daripada hikayat adalah seperti berikut:
Maka Hang Tuah pun berkata pada Hang Kasturi dan segala sahabatnya, “Hai
saudaraku keempat. Baiklah, kelima marilah kita berguru ada seorang ia bertapa
Sang Aria Putera namanya, adapun kita ini pada fikiran orang tua-tua akan
menjadi hulubalang di Tanah Melayu, maka kata Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang
Lekir dan Hang Lekiu, baiklah”.
Ini
menunjukkan bahawa mereka berlima bersetuju untuk menuntut ilmu kepahlawanan
dan pertahanan diri. Pada peringkat ini Hang Tuah dan saudaranya telah diajar
oleh Sang Aria Putera tentang ilmu isyarat hulubalang, ilmu firasat
dan ilmu perajurit. Tidak terdapat ayat atau perkataan yang menyatakan mengenai
silat. Namun begitu, berkemungkinan besar ilmu perajurit dan ilmu isyarat
hulubalang itulah ilmu pertahanan diri dan peperangan atau silat, dan ilmu firasat
itu adalah ilmu kebatinan. Sudah menjadi kebiasaan kepada ahli-ahli pertapaan
pada zaman dahulu untuk mempunyai ilmu kebatinan dan supra-natural seperti
dapat meramal perkara-perkara yang akan berlaku. Terdapat petikan di dalam
Hikayat Hang Tuah yang mengesahkan mengenai perkara ini, iaitu:
“Setelah sudah maka kata Sang Aria Putra, “Apa kehendak cucu kelima telah
ku ketahui. Adapun cucuku kelima ini akan diperhamba raja dan jadi pegawai
besar di Tanah Melayu, tetapi banyak orang-orang besar sakit hati lagi dengki
akan cucuku; maka ditunjukkan kepada Hang Tuah katanya tidak mengapa kerana
cucuku orang benar, ketiga cucu akan digelar Raja”.
Di dalam dunia Melayu, seorang yang mahir dalam ilmu
peperangan atau pertarungan digelar sebagai pendekar. Untuk mencapai tahap
pendekar, seseorang itu haruslah menghadapi ujian yang amat payah. Sebagai
contoh, Hang Tuah tidak terkecuali dalam hal ini. Hang Tuah telah menghadapi
ujian pertamanya setelah tamat berguru dengan Sang Aria Putra, iaitu terpaksa
menghadapi seorang yang amuk dan mengganas secara membabi buta di pasar dengan
bersenjatakan keris. Menurut Hikayat Hang Tuah, beliau telah menyerang Hang
Tuah dengan beberapa tikaman namun setiap tikaman itu berjaya disalahkan atau
dielakkan oleh Hang Tuah dengan berkesan hasil daripada pelajarannya dengan
Sang Aria Putra mengenai ilmu perajurit dan hulubalang. Hang Tuah dikatakan
tidak tergopoh-gapah dalam menyerang dan akhirnya berjaya membunuh si pengamuk
itu dengan sebilah kapak.
Terdapat beberapa
pengajaran mengenai ilmu pertempuran dan bela diri yang dapat diambil daripada
karya ini. Salah satunya ialah ketika berhadapan dengan musuh seorang pendekar
Melayu itu haruslah berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dalam membuat
serangan balas. Hal ini mempunyai kaitan rapat dengan falsafah seni bela
diri Melayu, iaitu silat yang menekankan penggunaan akal fikiran dan
mengutamakan pergerakan mempertahankan diri atau self defence daripada pergerakan menyerang. Ilmu hulubalang atau
silat ini juga digunakan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat untuk mematahkan lima
orang pengamuk yang ingin membunuh Bendahara Paduka Raja. Selain itu, teks
Hikayat Hang Tuah juga ada memaparkan beberapa lagi peristiwa pertarungan
penting yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu telah
mempunyai satu set ilmu atau seni pertahanan dan peperangan yang sama hebatnya
dengan seni peperangan bangsa-bangsa utama lain seperti China dan India.
No comments:
Post a Comment