Wednesday 24 April 2013

TAKRIF MELAYU DAN ETIMOLOGI MELAYU


Menurut Perlembagaan negara Malaysia, Melayu ialah orang yang lazim berbahasa Melayu, berkebudayaan Melayu, beragama Islam dan dia mestilah warganegara Malaysia.  Takrifan Melayu ini termaktub di dalam ceraian 160 Perlembagaan Malaysia yang telah wujud sejak Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu lagi, iaitu pada tahun 1957:

“...seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan
a.Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari Merdeka ia adalah berdominasi di Persekutuan atau di Singapura atau
b.Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.”
  (Mohd Rashid Md Idris, 2007:3)


Takrifan Melayu dari segi suku bangsa pula menyatakan Melayu mestilah daripada keturunan suku Melayu dari segi darah dagingnya, bertutur bahasa atau dialek Melayu dan berkebudayaan serta beradat resam Melayu.  Suku Melayu jenis ini terdapat di Semenanjung Malaysia, termasuk Thailand Selatan, Pantai Sarawak, Brunei, Pantai Sabah, Pesisir Kalimantan, Indonesia dan lain-lain.


Selain itu juga, Melayu dari suku bangsa mendefinisikan Melayu sebagai seseorang yang beragama Islam sebagai syarat yang mesti ada, tetapi sebaliknya syarat keturunan darah suku Melayu ditiadakan.  Takrifan ini bermakna jika terdapat suku lain memeluk Islam dan tinggal dalam kalangan orang Melayu maka dia secara langsung menjadi Melayu. Pertukaran agama menjadi Islam itu dikatakan masuk Melayu.

Menurut takrifan yang diberikan oleh UNESCO berdasarkan kajian yang dibuat menyatakan Melayu itu merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama, bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus, berketinggian sederhana dan penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar.
Menurut pendapat Syed Ali yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2007:3), dari segi lahiriah, orang Melayu ialah orang yang berkulit sawo matang, berbadan sederhana serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.  Dari segi budaya , Melayu meliputi penduduk kawasan yang lebih luas, iaitu gugusan pulau-pulau Melayu yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain.

Gambaran Orang Melayu

Menurut pendapat yang dikemukakan oleh Asmah Hj. Omar yang dipetik oleh Siti Hajar Abdul Aziz (2008:5) di dalam buku yang bertajuk Susur Galur Bahasa Melayu menyatakan bahawa istilah Melayu digunakan dalam pengertian yang luas dan sempit.   Dalam pengertian yang luas, Melayu merujuk kepada bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan yang secara tradisional dikenali  sebagai gugusan pulau Melayu.

Dalam pengertian yang lebih luas pula, pada tahun 1972, UNESCO menggunakan nama Melayu untuk merujuk suku bangsa di Semenanjung, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagascar.  Takrifan Melayu oleh UNESCO mempunyai persamaan dengan takrifan bagi konsep Indonesia yang digunakan dalam pengelompokan bahasa Austronesia.

Kemudian, Asmah Hj. Omar juga menyatakan bahawa takrifan Melayu yang lebih umum merujuk kepada suku bangsa yang menuturkan bahasa Melayu.  Antara kawasan atau petempatan kelompok ini ialah di Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera, Brunei dan beberapa buah kawasan berhampiran.  Bahasa bagi kelompok ini ialah bahasa Melayu di Malaysia, manakala di Indonesia bahasanya disebut sebagai bahasa Indonesia.
Sejarah Melayu merupakan salah satu karya bangsa Melayu yang paling penting sebagai sumber rujukan mengenai dunia Melayu.   Di dalamnya tercatat anggota Malaka menyebutkan diri mereka berketurunan Melayu dari derah Palembang.  Misalnya, keluarga raja-raja di Negeri Sembilan, iaitu Yang Dipertuan Ali Alamsyah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir.
Ketika itulah istilah Melayu merujuk kepada keturunan sekelompok orang Sumatera.  Akhirnya, takrifan Melayu didasarkan kepada budaya dan adat bangsa itu sendiri.  Bangsa Melayu merupakan manusia yang mempunyai etika, tingkah laku dan adat Melayu.  Setelah Islam masuk di daerah Sumatera dan Semenanjung Melaka, keyakinan dan ketaatan terhadap agama Islam merupakan salah satu ciri bangsa Melayu.



No comments: