Thursday 18 April 2013

Prinsip Asas dalam Teori Falsafah Bahasa


Berbahasa Mengikut Nahu

Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah Bahasa. Prinsip tersebut menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya agar maklumat yang yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya.
            Antara elemen-elemen penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa adalah terdiri daripada sumber, saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan juga persekitaran. Bahasa merupakan suatu sistem. Hal ini membuktikan bahawa bahasa itu lengkap dan sempurna dari segi peraturan ataupun polanya.
            Selain itu, bahasa juga terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa mahupun nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis.
            Di samping itu, penggunaan perkataan yang difahami umum (denotatif) juga amat penting agar pendengar dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas akan meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.
            Perkongsian makna juga amat penting dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Komunikasi merupakan proses apabila kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi makna antara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. Perkongsian di sini bermaksud perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur dan juga pendengar dalam suatu proses komunikasi. Sesuatu isyarat, maklumat mahupun bahasa mungkin memberi makna yang berbeza antara penutur dengan pendengar.
            Selain itu, komunikasi yang baik akan berlaku sekiranya penutur dan pendengar bersetuju dengan penggunaan sesuatu bahasa dan bahasa tersebut dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua pihak. Namun demikian, masalah akan berlaku dalam komunikasi sekiranya timbul masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan juga nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya manusia berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin disampaikan kepda setiap individu dapat dicapai objektifnya.
            I La Galigo merupakan sebuah sejarah mitos penciptaan dari peradaban Bugis di Sulawesi Selatan (sekarang bahagian dari Republik Indonesia) yang ditulis di antara abad ke-13 dan juga abad ke-15 dalam bentuk puisi bahasa Bugis kuno, ditulis dalam huruf Lontara kuno Bugis. Versi bahasa Bugis asli I La Galigo sekarang hanya dapat difahami oleh kurang seratus orang. Hanya sebahagian sahaja daripada teks I La Galigo yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan tidak ada versi lengkap dalam bahasa Inggeris. Namun demikian, terdapat sebuah buku yang menceritakan I La Galigo secara ringkas dengan menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Indonesia dan juga bahasa Inggeris. Buku tersebut bertajuk ‘The Birth of I La Galigo’. Walaupun buku tersebut menggunakan bahasa Indonesia, namun pembaca dapat memahami isi kandungan buku tersebut. Mesej yang ingin disampaikan melalui buku tersebut juga tercapai kerana dapat difahami oleh pembaca. Buku tersebut juga turut menceritakan cara Sawerigading dalam mendapatkan I We Cudai. Berikut merupakan petikan yang terdapat dalam buku tersebut:


“Bagian yang konon paling digemari oleh masyarakat Bugis adalah yang mengungkapkan bagaimana Sawerigading berusaha mendapatkan I We Cudai. Putri yang sangat jelita dari Alecina ini mula-mula tidak mau dan merasa malu menerimanya sebagai suami tetapi karena kalah perang akhirnya terpaksa talkuk juga, dengan syarat yang hampir tidak mungkin dilaksanakan oleh Sawerigading. Namun dengan bantuan dua ekor kucing, Sawerigading berhasil menggauli I We Cudai dan mendapatkan anak, meskipun dalam proses hubungan mereka itu keduanya tak pernah saling melihat karean I We Cudai sebenarnya malu diperistri Sawerigading. Di atas tempat tidur yang gelap gulita, yang dikelilingi tujuh lapis kelambu, dilingkari tujuh lapis dinding, dijaga oleh sejumlah besar punggawa, Sawerigading berhasil melaksanakan tugasnya sebagai suami...”
“I We Cudai merasa sangat malu ketika mengidam dan kemudian melahirkan; bahkan tidak mau melihat anaknya sendiri. Anak yang baru lahir itu pun diperintahkannya untuk dibuang atau dibunuh, namun madunya dengan bangga dan setia mengurus anak tirinya sehingga besar dan perkasa. Anak itu adalah I La Galigo, yang sesudah dewasa bertemu dengan ibunya yang sejati, yang terpesona oleh kecakapan dan keperkasaannya. I We Cudai akhirnya juga menerima Sawerigading sebagai suaminya...”
(The Birth of I La Galigo, 2005:14)



Muka depan buku 'The Birth Of I La Galigo'


Berdasarkan petikan tersebut, mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca tercapai walaupun bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia. Bahasa yang yang digunakan adalah mudah dan dapat difahami oleh pembaca, iaitu mengisahkan tentang kelahiran I La Galigo. Ha ini bermakna terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Indonesia memudahkan pembaca dapat mengetahui serba sedkit mengenai sejarah I La Galigo. Perkataan yang digunakan dalam buku tersebut juga adalah mudah dan tidak sukar untuk mengetahui maknanya. Oleh itu, walaupun terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Melayu belum pernah dilakukan, namun bahasa Indonesia yang mudah digunakan dapat menyampaikan mesej kepada pembaca tentang sejarah I La Galigo. Justeru itu, perkataan yang mudah digunakan serta bahasa yang dapat difahami oleh pembaca memudahkan peyampaian mesej berlaku kepada pembaca.



Tulisan Lontara




Tulisan Lontara dalam Teks I La Galigo


Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar


Teori Falsafah Bahasa ini turut menitikberatkan bahawa tujuan berbahasa adalah untuk menyampaikan maklumat yang benar dan betul. Hal yang demikian ini selari dengan firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2012:70) yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
                          (Surah Al-Ahzab 33:70)
Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata.  Seseorang itu hendaklah menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai.  Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan fitnah.
Dalam agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan tersebar dalam kalangan masyarakat.  Perkara ini mengkehendaki seseorang itu untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami oleh orang lain.
Karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai atau sebaliknya.  I La Galigo merupakan sebuah karya sastera yang lahir daripada pembentukan realiti dengan dunia ideal yang diyakini kebenarannya.  Hal yang demikian ini disebabkan oleh karya tersebut telah menjadi pegangan kepada kehidupan masyarakat Bugis sejak dahulu lagi.
Pada asasnya, masyarakat Bugis merupakan salah satu komuniti yang mempunyai struktur masyarakat yang sangant spesifik.  Ciri-ciri kebudayaan masyarakat tersebut juga masih kekal dan dapat ditelurusi jejaknya dari zaman lampau sehinggalah kini.  Kenyataan ini terbukti berdasarkan peninggalan-peninggalan bertulis yang terdapat di dalam karya I La Galigo.
Setiap peristiwa dan penceritaan tokoh-tokoh dalam Galigo merupakan gambaran kehidupan sebenar masyarakat awal Bugis.  Hal yang demikian ini menandakan bahawa karya sastera ini bukan sahaja memiliki nilai estetikanya yang tinggi, malah masyarakat lain yang membaca karya ini mengetahui keadaan yang merangkumi kepercayaan, adat dan budaya masyarakat Bugis.  Perkara ini bertepatan dengan prinsip falsafah bahasa yang menekankan berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar.
Selain itu, karya agung Bugis ini juga menyampaikan maklumat mengenai sejarah awal Bugis.  Menurut La Galigo, kerajaan pertama Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwu’ dan Tompoktikka.  Luwuk mendapat kedudukan yang istimewa kerana beliau dianggap sebagai ketua Bugis.  Namun begitu, pada abad ke-15, berlaku perubahan di dalam sosio-politik, ekonomi dan agama kerana berlakunya migrasi penduduk.
Penanaman padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda mula diperkenalkan dalam bidang ekonomi ketika itu.  Adat membakar mayat di sesetengah kawasan atau tempat turut diamalkan, iaitu dari sudut agama.  Pada akhir abad ke-15, telah muncul beberapa kerajaan baru yang menentang kerajaan Luwu’.  Misalnya, Gowa (Makassar), Bone dan Wajo’. Kematian seorang raja Luwu’, iaitu Dewaraja menyebabkan berlakunya perebutan dinasti untuk memerintah Tanah Ugi’.  Dikatakan bahawa Gowa bersekutu dengan Bone menawan Luwuk dan akhirnya berpengaruh besar terhadap Sulawesi Selatan.
Di samping itu, La Galigo menyimpan segala budaya dan peradaban manusia Bugis yang kedudukannya tinggi dan besar sifatnya yang pernah wujud dalam sejarah, kebudayaan dan tamadun Bugis. Jika dilihat tertulis di dalam La Galigo mengenai kebudayaan masyarakat Bugis yang gemar berlayar, merantau dan berdagang.  Kenyataan ini terbukti daripada perwatakan Sawerigading dan anakandanya, iaitu I La Galigo yang terkenal sebagai kapten kapal yang gagah.
Dikisahkan bahawa sepanjang pelayaran dan perantauan, mereka telah berkenalan dan berkomunikasi dengan dunia luar sehingga memungkinkan lahirnya wawasan yang luas.  Dengan erti kata lain, memberi peluang kepada mereka untuk mencipta pembaharuan terhadap kehidupan masyarakat tersebut.  Oleh itu, kemampuan masyarakat Bugis dalam mencipta perahu, rumah, hukum pelayaran Amanna Gappa dan sebagainya dapat diketahui melalui karya ini.
Tambahan pula, penyampaian I La Galigo membenarkan masyarakat lain mengetahui aktiviti perdagangan masyarakat awal Bugis.  Sejak berabad-abad yang lalu, masyarakat Bugis telah menjelajahi hampir keseluruhan pelusuk Nusantara, Australia, Filipina, China dan Madagaskar. Sebahagian kecil mengenai aktiviti dagangan ini disebutkan di dalam karya terpanjang ini.  Mereka dikatakan membawa dagangan yang berupa hasil laut, emas dan besi.

Berbahasa untuk Tujuan Ibadat atau Mentauhidkan Allah S.W.T
Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini.  Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardhu, puasa dan sebagainya.  Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya.  Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Hubungan manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku.  Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam itu sendiri.  Keseimbangan antara kedua-dua perkara itu mempengaruhi kehidupan seseorang yang lebih baik dan bertamadun.
Hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula dikenali sebagai komunikasi secara mendatar.  Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara bersemuka atau berkomunikasi dengan makluk lain seperti jin, nunian, flora atau fauna. Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu.  Misalnya, komunikasi antara kita dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakan.
Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat.  Jelas bahawa berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut.
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.  Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah S.W.T.  Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Berdasarkan epik atau karya sastera Bugis, iaitu I La Galigo dapat diketahui bahawa keadaan awal masyarakat Bugis  setelah kemasukan agama Islam di tanah mereka. Menurut pendapat Andi Muhammad Akhmar yang dipetik oleh Gusti Grehenson (2012) dalam penulisannya menyatakan bahawa sastera agung Bugis ini tidak hanya dinikmati sebagai sastera sahaja tetapi sebagai pencetus Islami kepada masyarakat Bugis.
Kemasukan agama Islam dalam kalangan masyarakat Bugis berlaku tanpa menyingkirkan unsur-unsur lama mereka tetapi menyesuaikannya dengan unsur Islam. Seperti yang diketahui bahawa, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan telah menganut kepercayaan kuno yang dikenali sebagai kepercayaan terhadap Dewa atau Dewata Seuwae (Tuhan yang Tunggal).
Lazimnya, karya I La Galigo yang juga disebut sebagai manuskrip La Galigo merupakan warisan masyarakat Bugis yang merangkumi empat aspek, iaitu keagamaan, kitab suci, tradisi dan kesenian. Berdasarkan pembacaan karya tersebut, masyarakat Bugis mempercayai ajaran daripada Galigo bahawa Dewa tertinggi mereka ialah La Patingga yang bermukim di kerajaan langit dan Guru Ri Selleng yang bermukim di kerajaan ghaib sebelum menganut agama Islam.
Berdasarkan kepercayaan itulah, lahirnya upacara dan tradisi masyarakat Bugis yang masih dapat ditemui dalam kebudayaan masyarakat mereka.  Bissu dan Sanro merupakan penajaga dan penyelamat La Galigo.  Bissu dikenali sebagai pendeta banci yang berperanan sebagai penghubung antara manusia dengan dewa, manakala Sanro pula berperanan sebagai pengamal yang berada di belakang layar selain bertugas menyediakan peralatan, bahan-bahan dan alat upacara.
Hampir keseluruhan upacara yang menjadi kebiasaan manusia ketika itu, didampingi oleh Bissu dan Sanro.  Misalnya, upacara penurunan padi, naik rumah dan sebagainya.  Fenomena seperti ini menggambarkan bahawa La Galigo berkait rapat dengan agama khasnya selain daripada tradisi dan kesenian masyarakat Bugis itu sendiri.
Terdapat pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menerapkan unsur-unsur kejiwaan yang telah diadaptasikan malahan didialogkan sehingga terpancarnya corak kebudayaan Islam dengan wajah Bugis atau disebut sebaai kebudayaan Bugis yang berwajaha Islam.  Jadi, tidak hairanlah sekiranya kita menemui doa Bissu yang ada menyebut Patatoqe sebagai Dewa yang tunggal.
Sungguhpun dalam La Galigo juga, Dewa tidak bersifat tunggal kerana masyarakat Bugis mengatakan bahawa Dewa bersifat beranak-pinak atau  sebaliknya.  Bahkan, di dalamnya juga dapat ditemui konsep siriq yang kemudiannya diadaptasi dengan konsep jihad selaras dengan ajaran agama Islam.
La Galigo dianggap sebagai kitab suci dan sumber agama bagi penganut agama To ri Olo masyarakat Bugis.  Hal yang demikian disebabkan oleh karya epik tersebut mewariskan sejumlah tradisi yang saling berkaitan dengan pelbagai upacara suci dan sakral.  Dikatakan bahawa, dalam upacara suci dan sakral itu kebiasaannya akan diiringi dengan pemotongan haiwan yang disertai dengan pembacaan sureq La Galigo.
Menurut pendapat Tol yang dipetik oleh Nurhayati Rahman (2008) menyatakan bahawa tiada pembacaan teks La Galigo tanpa diiringi upacara keagamaan. Bukan itu sahaja, sebelum pembacaan dilakukan seharusnya mengadakan persembahan sajian, dupa atau pemotongan ayam atau kambing.  Perlakuan membaca salah satu fragmen yang terdapat dalam Galigo dikatakan boleh menyembuhkan penyakit, tolak bala dan sebagainya.
I La Galigo diketahui umum bahawa tidak banyak terpengaruh dengan agama Islam, akan tetapi berdasarkan prinsip falsafah yang ketiga ini dapatlah dikaitkan bahawa terdapat kisah yang unik mengenai Sawerigading yang memaparkan pentauhidan kepada Allah S.W.T.  Menurut kepercayaan sebahagian masyarakat Bugis, Sawerigading yang diceritakan di dalam karya tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa kerana beliau merupakan keturunan dewa, malahan sebahagian masyarakat itu menganggapnya sebagai Nabi yang diturunkan ke bumi.
Berdasarkan kisah perjalanan beliau ke pelbagai buah negara, lahir beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa Sawerigading pernah bertemu dengan Nabi Muhammad.  Dalam pertemuan itu, mereka sempat berbincang dan berlawan antara satu sama lain.  Semasa perlawanan antara Sawerigading dengan Baginda, berlaku perlawanan seri antara kedua-duanya.  Di akhir perlawanan itu, Sawerigading mengakui dan tidak menafikan akan kehebatan Baginda.
Karya tersebut juga telah mempengaruhi sebahagian kepercayaan masyarakat Bugis kerana menurut mereka, Sawerigading mempunyai ajaran atau anutan yang hampir serupa dengan ajaran Islam.  Misalnya, solat dan haji, akan tetapi berbeza dari segi pelaksanaannya.  Sawerigading juga menggalakkan anak cucunya untuk mengunjungi Mekah.
Namun begitu, menurut pengkaji, karya agung ini tidak tepat sekiranya dikaitkan dengan prisnsip berbahasa yang ketiga, iaitu berbahasa untuk mentauhidkan Allah kerana karya ini penuh dengan mitos dan lagenda.  Misalnya, mitos penciptaan oleh Dewa langit dengan mengirimkan anaknya yang digelar Batara Guru dan We Nyili’ Timo, puteri kepada Dewa Alam Ghaib.

Umumnya, Sawerigading yang memiliki kekuatan luar biasa seperti beliau berkemampuan untuk naik ke langit dan turun ke bumi, meredakan angin ribut dan sebagainya seolah-olah beliau merupakan nabi.  Bahkan, karya ini juga lahir sebelum datangnya ajaran agama Islam.  Namun begitu, setelah pengaruh Islam meresap dalam sebahagian masyarakat Bugis pada abad ke-15, mereka telah menyesuaikan konsep dewa itu kepada Tuhan dan sebagainya tanpa mengubah kebudayaan masyarakat itu.




1 comment:

garlandgabrielse said...

Casino Slot Machines - DrmCD
In this video, I'll 아산 출장샵 review a casino slot game. If you enjoy the thrill of the slots, then you 광양 출장마사지 will 전주 출장샵 appreciate 인천광역 출장마사지 this slot machine. 제주 출장마사지 Casino Slot Machine Casino Slot Machines.