Maka sembah
Demang Lebar Daun, “Sungguh tuanku seperti khabar orang itu; jikalau tuanku
berkehendakkan patik itu, patik sembahkan, namun tuanku berjanji dahulu dengan
patik. Maka titah baginda, “Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan hamba
itu? Katakan oleh paman hamba dengar”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Barang
maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah
duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke
bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kurnia duli Yang Maha Mulia, janganlah
tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur
Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah peraduan duli tuanku. Seperkara
lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala
hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan
difadihatkan, dinistakan yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh,
tuanku; jangan duli tuanku aibi”.
Berdasarkan petikan dalam perenggan pertama
tersebut diceritakan bahawa Seri Teri Buana telah jatuh hati dan berhasrat
untuk mengahwini anak perempuan kepada Demang Lebar Daun. Hasrat Seri Teri
Buana itu kemudiannya telah diketahui oleh Demang Lebar Daun yang kemudiannya
telah bersetuju memenuhi hasrat tersebut. Namun begitu, Demang Lebar Daun telah
memohon kepasa Seri Teri Buana supaya tidak akan menghalau puterinya keluar
selepas berkahwin dengan Seri Teri Buana kelak. Demang Lebar Daun memohon agar
anak perempuannya tetap tinggal di dalam istana walaupun sebagai hamba istana
yang bekerja di dapur atau mengemas bilik peraduan Seri Teri Buana. Selain itu,
Demang Lebar Daun memohon sekiranya ada hamba Melayu yang melakukan kesalahan
terhadap baginda tidak dikeji dan dihina. Sekiranya mereka wajar dijatuhkan
hukuman bunuh, ia haruslah dilaksanakan tanpa memalukan mereka.
Maka titah Seri
Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji Paman itu; tetapi hamba pun hendak minta
janji juga pada Paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu,
patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia”. Maka titah Seri Teri Buana,
“Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau
zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan
darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk
begerinya juga.”
Dalam
perenggan kedua pula menceritakan bahawa Seri Teri Buana bersetuju terhadap
permintaan Demang Lebar Daun itu dan baginda juga memohon agar hamba Melayu
tidak akan menderhaka sekiranya keturunannya kelak memerintah dengan zalim dan
kejam. Seri Teri Buana juga berharap tiada berlakunya pertumpahan darah di dalam
negeri yang berada dibawah pemerintahan baginda dan keturunannya kelak.
Sekiranya ada hamba Melayu yang telah dizalimi, mereka hendaklah melarikan diri
dan berlindung di wilayah jajahan takluk pemerintah mereka tanpa bertindak
untuk menderhaka terhadap pemerintah mereka.
Kandungan
karya sastera tersebut menerangkan konsep falsafah yang dapat dijelaskan
berdasarkan sudut pandangan bahasa, iaitu waad membawa kepada maksud perjanjian
ataupun juga dapat dikatakan sebagai kontrak sosial. Di dalam konteks yang
terdapat dalam karya sastera Sulalatus Salatin ini ialah waad merujuk kepada
perjanjian antara Seri Teri Buana yang mewakili golongan pemerintah, manakala
Demang Lebar Daun pula mewakili golongan rakyat. Waad ini dilakukan apabila
Seri Teri Buana berhasrat untuk mengahwini anak perempuan Demang Lebar Daun
yang kemudiannya memohon agar Seri Teri Buana tidak akan menghalau keluar anak
perempuannya keluar dari istana sebaliknya dijadikan hamba di istana jika
ditimpa penyakit kedal selepas berkahwin dengan baginda.
Bagi
sudut pandangan praktis pula dapat menerangkan bahawa isi kandungan karya
sastera Sulalatus Salatin tersebut adalah berbentuk amali, iaitu lebih kepada
tindak tanduk atau perbuatan. Berdasarkan kepada isi kandungan karya tersebut
dapat dijelaskan bahawa waad menerangkan tentang aspek ilmu politik. Perjanjian
tersebut dilakukan bagi tujuan memelihara keharmonian negara dan telah menjadi
asas dalam sistem pemerintahan kerajaan Melayu. Sistem sosial ini amat penting
kerana ianya bagi mengawal keseimbangan antara golongan pemerintah dan hak
rakyat sesebuah negara. Melalui, sistem kedua belah pihak akan saling berhubung
dalam satu hubungan timbal balik kerana kedua belah pihak saling memerlukan
antara satu sama lain.
Sudut
pandangannya berbanding ilmu-ilmu lain dapat dihuraikan bahawa karya sastera menjelaskan
tentang pandangan waad terhadap alam yang dapat dijelaskan mengenai hubungan sesama
manusia yang merupakan mikrokosmos, iaitu salah satu unsur yang wujud di dalam
alam ini dan melalui falsafah waad menunjukkan wujudnya keseimbangan antara
perhubungan sesama manusia. Selain itu, falsafah waad ini juga dapat
diperkenalkan melalui hakikat kewujudannya yang merupakan satu konsep yang
diperkenalkan melalui pemikiran yang datang melalui pelbagai cara seperti akal,
bukti logikal dan rasional. Ia kemudiannya telah dijadikan konsep untuk
digunakan dalam perhubungan antara sesama manusia yang dipisahkan mengikut
susunan hierarki yang wujud antara mereka. falsafah waad tersebut telah
mewujudkan konsep ‘derhaka’ dan ‘tulah’ yang secara tidak langsung telah
mengukuhkan lagi institusi pemerintahan.
No comments:
Post a Comment