FAKTOR-FAKTOR
PENGGUNAAN UNSUR ALAM DALAM KARYA AGUNG
KECINTAAN MASYARAKAT MELAYU TERHADAP ALAM
Pada
zaman dahulu, masyarakat Melayu lebih cenderung menggunakan unsur-unsur alam
untuk tujuan tertentu, seperti menamai anak-anak mereka, pembayang di dalam pantun,
simpulan bahasa dan sebagainya. Hal yang demikian ini terjadi disebabkan
masyarakat Melayu terdahulu sangat menghargai alam. Mereka tidak sanggup untuk melakukan pelbagai
pencemaran seperti yang berlaku pada masa kini sama ada secara langsung mahupun
tidak langsung.
Perbezaan
yang ketara boleh dilihat antara masyarakat Melayu lama dengan masyarakat
Melayu moden dari aspek hubungan keakrabannya dengan alam. Menurut pendapat H B Jassin di dalam
penulisan master Zurinah Hassan (2007) mengatakan bahawa “Seniman yang halus
perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan
tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang
bernyawa”.
Mereka
juga sedar bahawa alam begitu kaya dengan flora dan faunanya telah banyak
memberi manfaat dalam kehidupan seharian mereka. Misalnya, terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan
yang boleh dijadikan penawar penyakit dan juga binatang-binatang tertentu untuk
dijadikan santapan seisi keluarga.
Bahkan, matahari atau bintang di langit memberi petunjuk kepada mereka
dalam menentukan arah atau peredaran satu-satu masa tanpa menggunakan alatan
canggih seperti yang disajikan pada zaman moden sekarang.
Oleh
sebab itulah, banyak unsur alam diambil dan dilihat tertulis di dalam karya
agung, terutamanya pantun kerana kecintaan mereka terhadap alam sekitar yang
terlalu tinggi. Hal ini bertepatan
dengan pendapat Muhammad Haji Salleh yang dipetik oleh Azmi Rahman (2008) di
dalam artikelnya yang mengatakan bahawa “manusia Melayu amat peka dan setia
kepada alam raya”. Kesensitivitian dan
kesetiaan mereka terhadap alam telah melahirkan karya sastera yang diwarisi
sehingga kini. Antaranya ialah pantun,
syair dan gurindam yang membicarakan unsur alam dalam penyampaian isi tersurat
dan tersirat.
Menurut
pendapat al-Ghazali yang dipetik oleh Siti Zainon Ismail (Alam Puisi:1994,22)
menyarankan tentang keakraban alam atau akrab dengan alam. Menurut beliau, seseorang penyair bukan
sahaja terpukau dengan alam persekitaran secara lahiriah tetapi mengangkat
makna yang lebih daripada itu secara alam batin pula dengan menggunakan unsur
alam di dalam karya mereka.
PENGAMATAN TERHADAP KESERUPAAN UNSUR ALAM PADA MANUSIA
Jelas
bahawa alam memainkan peranan yang sangat penting kerana masyarakat Melayu
zaman dahulu berada dalam proses interaksi, interpretasi dan integrasi dengan
alam di sekeliling. Para pencipta karya
yang menggunakan unsur alam perlu berinteraksi dengan alam, iaitu
berkomunikasi, bercakap dan bertindak balas dengan alam baharulah proses
pentafsiran berlaku. Pentafsiran di sini bermakna setiap objek alam dianggap
membawa makna yang lebih besar. Kemudian,
mereka mengamati atau mengintegrasi alam sebagai keserupaan dengan dirinya atau
masyarakat.
Penggunaan
unsur alam yang melibatkan objek alam fizikal yang boleh dilihat dengan mata
kasar manusia dan dialami secara langsung itu menjadi petanda kepada makna
sebenar. Pengamatan dan penghayatan yang
tersirat dari objek-objek tersebut hanya tercapai setelah melalui proses
pemerhatian, renungan dan penggunaan akal fikiran. Segala kejadian alam adalah bukti kebesaran
pencipta seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan
bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di
laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian
juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengan
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta ia biakkan padanya dari
berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan
awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dan bumi,
sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaaan Allah bagi kaum yang
menggunakan akal fikiran.
(Al-Baqarah ayat 164)
Masyarakat
Melayu dahulu gemar merenung alam tetapi
renungan itu sebenarnya berkait rapat atau berbalik semula kepada dirinya
sendiri kerana renungan tersebur sebenarnya memberi makna mendalam terhadap
erti kewujudan dan kehidupan yang sedang dilaluinya. Fenomena ini berlaku kerana mereka mudah
dirangsang oleh suasana alam yang diamatinya sama ada di dalam perjalan atau
ketika beristirehat di rumah. Misalnya,
kisah pembukaan negeri Melaka yang asal usulnya bermula daripada kisah pelanduk
yang menendang anjing perburuan Raja Iskandar ke dalam air. Setelah baginda mengamati peristiwa itu, maka lahirlah negeri Melaka yang terkenal
dengan sejarahnya sehingga kini.
Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik
dari sana ke tepi pantai, pada sutu sungai di tepi laut; dan nama sungai itu
Bertam. Maka Raja Iskandar pun berdiri
di bawah sepohon kayu, terlalulah rendang. Maka baginda pun berburu, maka
anjing perburuan itupun diterangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air. Maka titah Raja Iskandar Syah, “Baik tempat
ini, sedang pelanduknya lagi gagah, baiklah kita berbuat negeri di sini”.
(Sejarah Melayu edisi Shellabear cetakan
ke-30 dalam penulisan Zurinah Hassan).
KEKREATIFAN MASYARAKAT MELAYU DAHULU
Segala
emosi dan pemikiran masyarakat zaman dahulu akan dicurahkan secara tidak
berterus terang kerana mereka menggunakan unsur-unsur alam sebagai
perlambangan. Bahkan, pengunaan unsur
alam inilah yang memberi keindahan atau keestetikaan dalam sesebuah karya yang
dihasilkan. Unsur-unsur alam yang
digunakan sebagai perlambangan bermakna penyamaan sesuatu perkara dengan alam.
Penggunaan
unsur-unsur alam lebih banyak ditemui di dalam pantun khususnya kerana pantun
menggunakan alam sebagai pembayang sebelum pentafsiran makna tersirat. Antara unsur yang dominan digunakan ialah alam
laut dan lautan atau unsur waktu seperti peralihan cuaca. Menurut Zurinah Hassan (2007) dalam
penulisannya, beliau mendapati bahawa alam laut dan lautan sering digunakan
untuk menyatakan pemikiran yang melibatkan falsafah, pandangan hidup, nasihat
dan pedoman.
Jika
dilihat dari aspek pekerjaan masyarakat Melayu dahulu, antara pekerjaan tetap
mereka ialah bertani dan bersawah. Oleh
sebab itu, di dalam pantun mereka banyak menggunakan unsur alam yang dekat
dengan diri mereka, seperti penggunaan tumbuh-tumbuhan, iaitu ubi dan
nenas. Misalnya:
Sudah puas kutanam ubi,
Nenas juga dipandang orang;
Sudah puas kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.
(Bingkisan
permata (2001:xlvii)
Secara
lahiriahnya, ubi dan nenas sangat berbeza kerana ubi merupakan tanaman yang
tersembunyi di dalam tanah berbanding nenas yang memang nampak berbuah di
permukaan tanah. Ubi disamakan dengan
sikap manusia yang selalu berbudi kepada orang lain, manakala nenas disamakan
pula dengan emas yang lebih bernilai di mata masyarakat. Bahkan, ubi merupakan tanaman dominan
masyarakat Melayu yang sudah sebati dengan kehidupan mereka malahan tidak sukar
mendapatkannya berbanding nenas. Oleh
sebab itulah, masyarakat Melayu yang mencipta pantun sangat kreatif
membandingkan sikap manusia yang lebih memandang kekayaan berbanding mengenang
budi.
UNSUR ALAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MASYARAKAT MELAYU
CERMINAN BUDAYA MASYARAKAT MELAYU
Sejak
dahulu lagi, masyarakat Melayu terkenal dengan budaya kesantunan dan budi
pekerti mereka yang tinggi. Menurut
pendapat Harun Mat Piah di dalam penulisan Himpunan Esei Penulis, budi berkait
rapat dengan jasa kerana jasa adalah berbudi.
Pernyataan ini bermakna seseorang itu tidak akan dianggap berjasa
sekiranya tidak berbudi kerana sikap sedekimian sejajar dengan tuntutan ajaran
Islam yang menekankan hubungan baik sesama manusia. Sikap inilah yang telah lama diamalkan oleh
masyarakat Melayu sehingga diwarisi oleh generasi sekarang.
Unsur-unsur
alam yang terdapat di dalam karya agung, khususnya di dalam pantun mencerminkan
budaya sebenar sesebuah bangsa atau masyarakat. Pemikiran masyarakat Melayu
yang menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa terpancar melalui pemakaian
unsur alam di dalamnya. Mereka telah menggunakan unsur-unsur alam yang segar
dan berkesan sehingga kekal digunakan ke hari ini. Keindahan sesebuah karya terserlah kerana
penciptanya dapat menghayati unsur-unsur alam sebagai perlambangan perilaku
manusia ketika itu. Antara pantun yang
menggunakan unsur-unsur alam di dalamnya dan mencerminkan budaya masyarakat
Melayu ketika itu ialah:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Perkataan
buah cempedak yang digandingkan dengan galah memperlihatkan penggunaan unsur
alam semula jadi yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu mencari rezeki
menggunakan alatan tersebut. Pemilihan
kedua-dua kata tersebut sangat teliti oleh penghasilnya kerana secara tidak
langsung perkataan-perkataan tersebut telah memperlihatkan kelemahan dan
kekurangan seseorang yang memerlukan bantuan pihak lain.
Setiap
bantuan yang diperlukan tidak diberikan dengan tangan yang kosong, kerana
ketika zaman itu orang yang memberi bantuan akan menyalurkan beberapa bentuk
bantuan seperti peralatan bagi memudahkan kerja pihak tersebut. Dalam pantun tersebut, galah telah diberikan
untuk seseorang itu mendapatkan cempedak yang dimahukannya.
BAHASA KIASAN SECARA HALUS
Bahasa
berperanan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau hajat keadaan
seseorang. Bahasa yang baik mudah
difahami maknanya sama ada secara tersurat dan tersirat. Bahasa secara tersurat
merupakan bahasa yang dapat difahami secara langsung daripada pemakaian kata
yang diungkapkan, manakala bahasa tersirat pula bermakna bahasa yang
mengandungi makna berlapis atau mempunyai makna yang lain. Misalnya, pantun dahulu disampaikan sewaktu
orang Melayu berkebun, bersawah dan proses sebelum perkahwinan.
Menurut
pendapat yang dikemukakan oleh Aminudin Mansor dalam penulisannya, beliau
mengatakan bahawa kajian dan penyelidikan para sarjana mendapati salah satu
cara menyampaikan buah fikiran, teguran dan sindiran adalah melalui penggunaan
bahasa kiasan. Masyarakat Melayu
terdahulu gemar menyampaikan sebarang persoalan secara tidak langsung. Mereka akan menggunakan bahasa kiasan bagi
menjaga hati orang lain agar perasaannya tidak tersinggung dan terasa dengan
kata-kata yang diungkapkan secara langsung.
Menurut
pendapat Fatimah Busu yang dipetik dalam penulisan Mohd Khairi bin Ariffin (2010)
menyatakan bahawa kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam
kalangan masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka
berterus terang. Oleh sebab itu,
berbagai-bagai bentuk bahasa kiasan digunakan bagi menggambarkan sikap rendah
diri dan sifat kesopan dalam kalangan mereka.
Berikut
merupakan penggunaan unsur alam yang meliputi tumbuhan dan warna bagi
menyampaikan makna agar masyarakat Melayu menanamkan amalam berbudi dan
berbahasa secara beretika kepada orang lain:
Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.
Bingkisan
permata (2001xlv)
PEMINDAHAN
PERASAAN MASYARAKAT MELAYU
Salah
satu tujuan unsur alam digunakan adalah untuk memindahkan perasaan pengkarya
sendiri kepada unsur alam itu sendiri.
Misalnya, jika seseorang itu sedang berduka, maka dia akan mengatakan
bahawa ‘bulan pucat’ atau ‘hujan yang turun bagaikan air mata’. Namun begitu, jika seseorang itu tidak
berduka pula, kata bulan boleh diungkapkan seperti ‘bulan tersenyum’ atau hujan
dikatakan gugur bagaikan mutiara.
Mustahil
sekiranya manusia tidak mempunyai perasaan seperti gembira, sedih, terharu,
marah dan sebagainya semasa berhadapan dengan sesuatu masalah atau perkara
dalam kehidupan seharian. Oleh sebab
itu, unsur-unsur alam yang digunakan dalam karya, khususnya pantun
memperindahkan lagi karya tersebut supaya sedap untuk dibaca dan didengar dalam
kalangan masyarakat Melayu dahulu hinggalah kini. Misalnya:
Telur merpati telur tunggal,
Taruh mari atas meja;
Emak mati bapa meninggal,
Pada siapa hendak bermanja.
Bingkisan
permata (2001:270)
Pantun
di atas memeperlihatkan perasaan seorang anak yang sedang kesedihan atas
kematian kedua orang tuanya. Pemergian
kedua orang tua buat selama-lamanya menyebabkan seseorang anak itu hilang
tempat untuk bermanja dan bergantung hidup ketika suka dan duka. Kata telur merpati yang bersifat tunggal itu bermakna
hanya sebiji telur merpati sahaja yang ada ketika itu yang kemudiannya
diletakkan di atas meja. Penggunaan
unsur tersebut sangat serasi situasinya dengan kehidupan seseorang yang
kehilangan ibu bapa.
Selain
daripada pantun, unsur alam juga dapat dilihat dalam peribahasa yang digunakan
oleh masyarakat Melayu dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sering kali peribahasa yang diungkapkan juga
berperanan penting untuk melahirkan perasaan seseorang. Misalnya, perasaan geram terhadap mereka yang
tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik. Peribahasa tersebut ialah:
Harapkan pagar, pagar
makan padi (Kumpulan Pantun Melayu (1983:4)
Berdasarkan
peribahasa tersebut, terdapat dua unsur alam yang digunakan atau diterapkan di
dalamnya, iaitu pagar dan padi. Kedua-dua kata tersebut adalah bersifat kontra
kerana para pesawah akan memastikan padi yang ditanam mereka dijaga rapi dengan
membina pagar di sekelilingnya bagi mengelak ancaman binatang lain yang boleh
merosakkan kesuburan padi. Ringkasnya.
Kita boleh memahami secara terus atau langsung makna tersurat berdasarkan unsur
alam yang dipililh dalam peribahasa itu.
Dari
konteks kehidupan manusia pula, kata pagar itu sebenarnya merujuk kepada
seseorang yang diberikan amanah untuk menjaga atau melaksanakan sesuatu
pekerjaan mengikut etika-etika tertentu.
Kata padi pula merujuk kepada perkara atau sesuatu yang
dipertanggungjawabkan kepadanya.
Misalnya, seseorang yang diamanahkan untuk memimpin negara dengan adil,
tetapi pemimpin itu telah melakukan korupsi secara sulit. Inilah yang dikatakan mengharap seseorang yang
sudah diyakini kebertanggungjawabannya, tetapi meyalah gunakan kuasa atau
tanggungjawabnya itu untuk tujuan yang lain.
RUJUKAN PERSEKITARAN MASYARAKAT YANG MENGHASILKANNYA
Sesungguhnya,
sebahagian besar unsur alam ditemui dalam pantun, sama ada dijadikan sebagai
perbandingan yang konkrit atau sebagai pernyataan yang abstrak sahaja. Pada asasnya, sesebuah pantun yang dihasilkan
oleh masyarakat Melayu lama secara tidak langsung menyerlahkan persekitaran di
sekelilingnya. Ringkasnya, penggunaannya
menyatakan latar alam dan latar budaya yang diwakili oleh unsur alam itu.
Masyarakat
pantai, pesisir, darat, kota, desa atau pedalaman terangkum sebagai latar di
dalam sesebuah pantun. Terdapat banyak
ratusan pantun yang merujuk kepada persekitaran masyarakat yang
menghasilkannnya. Antaranya ialah
masyarakat pesisir atau masyarakat pelaut yang berkemahiran mengenai laut,
pelayaran ataupun daripada seorang pemikir yang benar-benar mengetahui tentang
laut. Berdasarkan itulah, imej-imej laut
diserlahkan dalam segala situasi.
Kumpulan
pantun yang terdapat di dalam Bingkisan Permata telah menyenaraikan beberapa
senarai yang terperinci bagi merujuk unsur alam dan rujukan masyarakat terhadap
laut. Misalnya seperti berikut:
a) Laut,
pantai, tanjung, teluk, pulau, darat, arus
b) Karang,
ombak, buih, anjung, gelombang, angin, bayu, ribut, taufan
c) Ikan
(yang pelbagai jenis), udang, ketam, lokan, teritip, kepiting, dan sebagainya.
Unsur-unsur
alam di atas memperlihatkan pengetahuan dan sifat kepekaan masyarakat Melayu
yang mendalam dan terperinci. Masyarakat
yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman tentang laut, malahan kehidupan
sosial yang melahirkankarya itu tidak mampu untuk mentafsir segala situasi yang
disebutkan di atas. Jikalau, unsur
tersebut meliputi lautan, sesetengah
masyarakat juga menggunakan unsur alam yang berada di darat dalam penghasilan
pantun atau jenis-jenis sastera yang lain.
Misalnya:
a) Segala
jenis haiwan, di darat, di air dan di angkasa
b) Segala
jenis burung
c) Segala
jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijian.
d) Segala
jenis bunga
e) Segala
bahagian daripada tumbuh-tumbuhn dan pohonan seperti akar, batang daun, ranting,
tamuk dan sebagainya.
Menurut
latihan ilmiah yang dihasilkan di Fakulti Sains Fizik dan Gunaan, Universiti Kebangsaan
Malaysia (1987) yang disebut oleh Harun Mat Piah (2011:xxxii) membuktikan
bahawa hampir 200 spesies (192) jenis flora yang digunakan di dalam pantun.
Kenyataan ini disahkan kewujudannya, diberikan nama-nama saintifik, ciri-ciri
dan fungsinya serta hubungannya dengan budaya Melayu.
Perkara
yang menarik ialah keserupaan maksud atau pemikiran penghasilnya mengikut
kesesuaian ciri-ciri unsur alam yang digunakan.
Bahkan, kajian lain untuk Ijazah M.A. di Jabatan Persuratan Melayu yang
berjudul “Perlambangan dalam Pantun Melayu” Universiti Kebangsaan Malaysia
(1991) yang turut di sebut oleh Harun Mat Piah dalam kajiannya mengenai pantun
menyenaraikan pelbagai unsur alam yang digunakan sebagai lambang dan citra
indah yang berkesan dalam pantun.
Perhatikan contoh di bawah:
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Kayu jati teras binalu,
Bunga rampai di dalam puan,
Biar kumati jangan kumalu,
Syukur kusampai denganmu tuan.
Bingkisan
permata (2001:xxi)
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa kedua-dua rangkap pantun di atas menggunakan unsur
alam, iaitu flora dan fauna sebagai lambang kepada situasi yang berlaku dalam
masyarakat. Kata buah langsat yang masak
kekuningan dan senduduk yang kekeringan menunjukkan sifat kekontrasan
masing-masing. Walau bagaimanapun,
kedua-dua kata tersebut begitu tepat dengan gandingan kata gading dan tanduk
yang memperihalkan dua sikap manusia, iaitu manusia yang bertuah dan manusia
yang tidak berguna lagi.
Hal
yang sama juga di dalam rangkap pantun yang kedua, kerana penggunaan unsur alam
seperti kayu jati dan bunga rampai sangat sesuai dijadikan lambang kepada
keteguhan cinta, azam dan sumpah setia.
Tegasnya, perlambangan tersebut memainkan peranan penting dalam
kehidupan masyarakat ketika itu yang sedang berkasih sayang antara satu sama
lain. Pemilihan unsur flora yang diterapkan biasanya terdiri daripada jenis
alam yang indah dari segi rupa dan ciri-cirinya yang lain selain ketepatan dalam
perbandingan dengan kehidupan manusia.
RUJUKAN GAMBARAN TERHDAP KECANTIKAN WANITA ZAMAN ITU
Masyarakat
Melayu lama dikatakan mempunyai kebebasan dan bersifat tersendiri dalam membuat
dan mencari istilah atau perbandingan yang mereka rasakan pada waktu itu. Kenyataan ini dibuktikan dengan gambaran yang
dilakukan oleh masyarakat Melayu lama dalam menggambarkan kecantikan seorang
puteri.
Menurut
kajian Ghazali yang dipetik oleh Wan Akmal Wan Semara di dalam bukunya (Unsur
Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional: 2005,20) mendapati bahawa sastera
Melayu lama turut memperlihatkan contoh terbaik terhadap penggunaan bahasa
perbandingan dalam bahasa berirama.
Menurut beliau juga, masyarakat Melayu lama menggunakan unsur bahasa
perbandingan jenis simile untuk menggambarkan kecantikan puteri itu.
Masyarakat
Melayu lama juga dikatakan mempunyai idiom sendiri mengikut keseseuian gaya
estetika pengarang lama. Kebanyakan
dalam kalangan mereka memeasukkan rasa daripada lahirnya. Ringkasnya, sekiranya rasa indah yang
dilahirkan itu dapat kita tanggapi maka bandingan tersebut telah mendekati
kenyataan. Misalnya:
...wajahnya gilang-gemilang,
Bagai lilin dituang.
Mukanya bundar bagai bulan penuh.
Matanya bagai bintang timur.
Hidungnya bagai seraut jatuh.
Dagunya bagai lebah tergantung.
Pipinya bagai pauh dilayang.
Alis matanya lentik bagai kiliran taji.
Bulu matanya bagai semut beriring.
Jarinya bagai duri landak.
Tumitnya bagai telur burung.
Pinggannya segelung jari.
Jalanya bagai si ganjur lalai,
Daripada maju surut nan lebih...
(Hikayat
Awang Sulong Merah Muda yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam
Puisi Melayu Tradisional)
SIMBOLIK KEPADA MASYARAKAT MELAYU LAMA
Lazimnya,
perkaitan antara perasaan dan pemikiran lebih banyak terbentuk daripada unsur
alam yang banyak dijumpai dalam pantu seperti yang diterangkan sebelum ini. Simbolik merupakan salah satu unsur bahasa
perbandingan yang sebenarnya melibatkan proses pemindahan sifat seseorang
kepada sesuatu yang lain. Ringkasnya,
maksud atau makna yang hendak disampaikan adalah menggunakan benda lain sebagai
lambang atau simbolnya. Antaranya ialah:
Sifat
binatang kepada manusia, seperti sifat harimau yang buas kepada manusia yang
ganas, sifat ulat yang kecil dan lemah kepada manusia yang lemah dan tidak
berupaya manakala sifat buaya yang lahap tidak memilih makanan termasuk bangkai
kepada manusia yang sama sifatnya.
Pantun berikut membuktikan simbolik ini:
Cik Embong orang
Melaka,
Tanam peria tepi
pantai;
Jangan sombong
tuan berkata,
Adakah buaya
menolak bangkai?
Pantun Melayu
(1961) yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam Puisi Melayu
Tradisional)
Selain
itu juga, unsur simbolik juga dibentuk apabila menyatakan sesuatu di luar erti
kata itu sendiri. Biasanya, unsur
simbolik ini berkait rapat dengan sifat konotasi. Salah satu contoh yang biasa digunakan oleh
masyarakat Melayu lama ialah ‘sekumtum bunga’ dan ‘sekalian kumbang’ dalam
pantun berikut:
Belayar masuk Kuala Kedah
Patah tiang timpa kemudi
Sekuntum mawar terlalu indah
Sekalian kumbang asyik berani.
Pantun
Melayu yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam Puisi Melayu
Tradisional)
Kata
sekuntum mawar dan sekalian kumbang mempunyai simbolik yang bukan sekadar
tertumpu kepada sekuntum mawar dan kumbang itu salaha, malah lebih daripada
itu. Kata mawar boleh mengungkap makna
cinta yang suci, sesuatu yang indah atau sesuatu yang penuh dengan kelembutan
dan kemesraan. Kata kumbang pula merujuk
kepada makna cinta yang palsu, penggoda, sesuatu yang penhu keghairahan atau
bernafsu.
No comments:
Post a Comment