Teks Tuhfat Al-Nafis sememangnya sebuah kitab sejarah
yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan sejarawan yang mengkaji
sejarah Johor-Riau Lingga dan Tanah Melayu. Tuhfat Al-Nafis merupakan kitab
sejarah yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sejarah Melayu,
iaitu karya Tun Sri Lanang, seorang Bendahara Johor sekitar tahun 1612. Ketika
itu, Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615). Walaupun
sesetengah sarjana beranggapan bahawa teks ini tidaklah sepopular teks-teks
sejenis dengannya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah
dan sebagainya. Namun demikian, kita dapati pengarang teks ini lebih
terkehadapan berbanding teks yang sezaman dengannya.
Hal
ini dapat dilihat dari segi penggunaan sumber dan pemberian tarikh atau jangka
waktu sesebuah peristiwa yang diperihalkan dalam teks ini. Ini menyebabkan teks
ini lebih istimewa berbanding teks pensejarahan Melayu yang lain. Walau
bagaimanapun, tidak dapat dinyatakan dengan tepat berhubung dengan tarikh teks
ini dikarang. Oleh itu, berdasarkan pendapat ramai, teks ini dikarang sekitar
penghujung abad ke-18 sehingga pertengahan abad ke-19. Salinan atau naskah teks
ini terdiri daripada enam salinan termasuk naskah yang ditemui di Terengganu
dalam tulisan Jawi. Antara tersebut adalah naskah yang dimiliki oleh W. Maxwell
yan telah disalin pada tahun 1890.
Latar
Belakang Pengarang Tuhfat Al-Nafis
Berdasarkan pendapat ahli sejarawan, Raja Ali
Haji merupakan individu yang berperanan besar dalam mengarang teks Tuhfat
al-Nafis. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang mengatakan teks ini
merupakan sebuah teks yang dikarang bersama oleh Raja Ali Haji dengan ayahnya,
iaitu Raja Ahmad.
Raja
Ali Haji merupakan anak kepada Raja Ahmad (Raja Ali Haji bin Raja Ahmad) yang
dikaitkan dalam teks ini. Raja Ahmad atau Engku Haji dilahirkan pada tahun 1778
dan mangkat pada 1878, sementara Raja Ali Haji dilahirkan pada tahin 1804 dan
mangkat lebih awal daripada ayahnya, iaitu pada tahun 1872. Raja Ahmad, iaitu
ayah kepada Raja Ali Haji merupakan anak kepada Raja Haji (Marhum mangkat di
Ketapang, Melaka) yang merupakan Yang Dipertua Muda Keempat Johor-Riau.
Manakala, Raja Haji pula merupakan anak kepada Daeng Celak bin Daeng Relaka
(Yang Dipertua Muda Kedua Johor Riau) daripada keluarga Bugis di Sulawesi,
iaitu tempat asal Opu Bugis Lima Bersaudara.
Raja
Ali Haji juga merupakan seorang intelektual terkenal di penghujung abad ke-19.
Kecemerlangan Raja Ali Haji dalam dunia intelektual berkat karya-karya dan
perjuangan dalam mencerdaskan masyarakatnya. Karya-karyanya tidak hanya
terbatas pada Gurindam Dua Belas, sebagai sebuah karya sastera yang
sangat terkenal, tetapi turut meliputi pelbagai bidang seperti agama, sejarah,
bahasa dan budaya Melayu.
Selain
daripada faktor keturunan yang mempengaruhi Raja Ali Haji lebih pro Bugis,
faktor latar belakang hidupnya juga banyak mempengaruhi beliau. Beliau telah
dibesarkan di istana Riau, pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan
seperti penasihat raja-raja Riau, menjadi pakar undang-undang, guru agama dan
hakim di Riau. Justeru itu, berdasarkan latar belakang keturunan dan kehidupan
Raja Ali Haji, jelaslah menunjukkan beliau mempunyai hubungan atau pertalian
darah yang amat kuat dengan Opu Bugis lima bersaudara dan yang dikaitkan dengan
keturunan Raja Bugis di Sulawesi.
Salah
satu karya besar Raja Ali Haji dalam bidang sejarah ialah Tuhfat Al-Nafis.
Karya ini merupakan karya sejarah yang terpenting setelah Sejarah Melayu, karya
Tun Sri Lanang, Bendahara Kerajaan Melaka. Virginia Matheson menyebut karya
Raja Ali Haji ini sebagai catatan abadi tentang kerajaan Johor-Riau. Menurut
Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid, tidaklah sempurna bagi seseorang sejarawan
yang menulis sejarah negeri Melayu, terutama Johor, Riau dan Selangor, jika
tidak merujuk pada karya ini.
Dalam karya Tuhfat Al-Nafis, beliau lebih
cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini bertepatan dengan apa yang dikatakan
oleh Arba’iyah Moham Nor, iaitu beliau mengatakan tema Tuhfat Al-Nafis
dikatakan lebih tertumpu kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau boleh dianggap
sebagai Bugis Centric. Beliau juga sedaya upaya menjadikan Tuhfat
Al-Nafis sebagai alat untuk mempertahan kedudukan suku Bugis dalam kesultanan
Melayu terutama Johor.
Keobjektifan Tuhfat Al-Nafis
Pada pendapat saya,
setelah membaca dan mengkaji isi kandungan Tuhfat Al-Nafis, saya mendapati
pengarangnya, Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji kurang objektif dalam penulisan
Tuhfat Al-Nafis. Hal ini demikian kerana, setelah meneliti kandungan Tuhfat
Al-Nafis, terdapat beberapa bukti dan beberapa aspek yang menunjukkan pengarang
kurang objektif dalam penulisannya.
Pengarang Tuhfat Al-Nafis bersifat kurang objektif dalam
penulisannya kerana pengarang mempunyai sentimen pro Bugis. Tema Tuhfat
Al-Nafis lebih cenderung kepada cerita-cerita raja dan masyarakat Bugis atau
lebih dianggap sebagai Bugis centrisc. Hal ini dapat dilihat apabila
pengarang bersifat antagonis terhadap suku kaum Melayu dan suku kaum
Minangkabau. Pengarang sebenarnya mempunyai hubung kait dengan kaum Bugis.
Dalam hal ini, pengarang merupakan keturunan daripada Yang Dipertua Kedua,
iaitu Opu Daeng Celak. Selain itu, pengarang juga memberi anggapan yang negatif
terhadap kaum Melayu.
“Syahadan apabila dilihat oleh sesetengah
suku-suku sebelah Melayu hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya oleh
api hasad yang tertanam di dalam hatinya.”
Pengarang sebenarnya ingin mempengaruhi pembaca dengan
memasukkan elemen-elemen positif tentang Bugis dan menyebelahi Bugis.
Kredibiliti pengarang boleh dipertikaikan kerana pengarang lebih condong
terhadap kaumnya sendiri.
Selain itu, pengarang juga kurang objektif terhadap
penulisan Tuhfat Al-Nafis, iaitu pengarang cuba menaikkan imej Opu Bugis Lima
Bersaudara. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pembaca
mengenai kehandalan pahlawan Bugis. Kecondongan Raja Ali Haji terhadap semangat
Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang
beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada
ketika itu. Dalam penulisan Tuhfat Al-Nafis, pengarang cuba menyatakan bahawa
setiap kali campur tangan, Opu Bugis Lima Bersaudara berjaya menyelesaikan
masalah perebutan takhta antara dua pihak yang bersengketa. Sebagai contoh,
pengarang ada menceritakan Opu Bugis Lima Bersaudara membantu Sultan Muhammad
Zainuddin untuk mendapatkan takhta pemerintahan kerajaan Matan yang sebelum ini
dikuasai oleh Pangeran Agung.
Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti betapa
biasnya Raja Ali Haji dalam mengarang Tuhfat Al-Nafis. Ini dapat dibuktikan
dengan caranya mengungkap hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu
Bugis Lima Bersaudara. Seperti yang diketahui umum, Raja Kecil merupakan musuh
utama kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Oleh sebab itu, kita dapati bahawa Raja
Ali Haji seboleh mungkin memberi gambaran yang negatif terhadap Raja Kecil.
Perkara ini dapat diteliti melalui bahagian-bahagian yang diperihalkan oleh
Raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:
“Adalah Encik
Pong itu dipakai memeng oleh baginda itu, telah bunting memeng, konon. Waktu
baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda. Maka Encik Pong
dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawahnya ke Pagar Ruyung, kepada puteri
Janilan, lalu Encik Pong beranak di situ, iaitu laki-laki...”
Jika dilihat secara sepintas lalu,
sememangnya petikan di atas tidak banyak memberi kesan yang negatif kepada Raja
Kecil. Maka dengan itu, kita dapati untuk mencapai motifnya, Raja Ali Haji cuba
memberi gambaran seterusnya tentang asal-usul Raja Kecil dalam situasi yang lebih
buruk. Oleh itu, dalam teks ini beliau menyebut:
“Tatkala
baginda mangkat, zakarnya berdiri. Maka tidak ada orang yang berani menanam baginda
itu. Maka mesyuaratlah segala menteri apa sebab pekerjaan itu, sangat ajaib.
Maka kata daripada isi istana: Adalah baginda tengah berahikan Encik Pong itu,
maka baginda itu pun mangkat. Maka takbir segala menterinya (yang) baginda itu
takut tiada meninggalkan anak cucu yang bangsa daripadanya. Maka disuruhnya
orang besar-besar itu akan Encik Pong itu setubuh dengan baginda itu konon,
pada ketika itu. Maka apabila selesai baharulah rebah zakar baginda itu. Maka Encik
Pong pun buntinglah konon.”
Dalam
masa yang sama, kecenderungan Raja Ali Haji dapat dilihat dengan jelas, apabila
beliau memerihalkan latar belakang Opu Bugis Lima Bersaudara. Keadaan ini
bertujuan memberi gambaran kepada para pembaca bahawa Opu Bugis berasal daripada keturunan yang baik-baik berbanding
dengan Raja Kecil. Dengan cara ini Raja Ali Haji berharap para pembaca akan memberi
persepsi yang positif kepada kaum Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal
yang baik-baik sahaja diberikan kepada Opu Bugis Lima Bersaudara dalam Tuhfat
al-Nafis. Contohnya:
“Adalah
puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu baik-baik belaka
parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Opu Daeng Celak yang
tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya...”
Seterusnya, dalam menceritakan
peristiwa perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang
Johor-Riau, Raja Ali Haji juga telah memberi satu tafsiran atau gambaran yang
berpihak kepada pihak Bugis. Beliau telah mengeksploitasi peristiwa ini untuk
memberi kesan yang baik kepada Bugis. Hal ini demikian kerana, apabila kita
melihat Hikayat Siak, sememangnya hikayat ini telah memberi kesan yang buruk
kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Justeru itu, dalam memerihalkan semula
peristiwa tersebut, Raja Ali Haji telah menggunakan peristiwa ini untuk
menunjukkan bahawa pihak Raja Kecillah yang bersalah dalam peristiwa ini. Raja
Ali Haji mengatakan (berdasarkan teks), Raja Kecillah yang sebenarnya telah
berjumpa dengan Opu Bugis Lima Bersaudara untuk melanggar Johor. Akan tetapi,
pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut kerana pada fikiran mereka, itu
adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja. Justeru itu, Raja Ali Haji
mengungkapkan dalam teks ini:
“Syahadan
di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka Opu Bugis yang
berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada mengembara. Maka
berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun mengajaklah ia melanggar
negeri Johor, maka tiada ia mahu. Maka didalihkannya hendak ke Langat dahulu,
mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka tiadalah jadi bantu membantu
itu.”
Di dalam episod bantuan Bugis kepada Johor-Riau untuk
mengalahkan Raja Kecil, Raja Ali Haji telah menyebut kisah ini agar ianya
berpihak kepada Bugis. Maka berkatalah ia:
“Maka
menjawablah Opu Dahing Parani, ‘Seperti saya semua adik-beradik sama saja yang
patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya
seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain
hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini.’ Maka menjawab pula
Opu Dahing Menambu, ‘Saya ini tiada sanggup menjadi Yang Dipertua Muda di tanah
barat ini, kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Mantan akan memelihara akan
negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati mertua saya itu.’ Maka menjawablah
Dahing Celak , ‘Saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera,
tiada saya mahu menjadi Yang Dipertua Muda.’ Maka menjawablah Opu Dahing
Kemasi, ‘Adapun saya ini tada berhajat menjadi Yang Dipertua Muda di tanah
barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahan
jikalau seperti di Mantan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang
sayalah.’ Menjawab pula Kelana Jaya Putera, ‘Adapun saya jikalau bercerai
dengan saudara-saudara saya, tiada saya mahu menjawab Yang Dipertua Muda di
tanah barat ini.’ Demikianlah kata sekalian Opu-opu Bugis itu.”
Dengan melihat petikan di atas, Raja Ali Haji telah
sedaya upaya cuba memberi satu gambaran yang baik kepada Opu Bugis Lima
Bersaudara berhubung dengan kedatangan mereka ke Johor khasnya dan Tanah
Melayu, umumnya. Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Raja Ali Haji mengarang
satu bentuk petikan yang menunjukkan bahawa Opu Bugis Lima Bersaudara bukannya
gilakan atau mahukan kuasa. Sebaliknya ianya telah diberi sukarela oleh Sultan
Sulaiman. Namun demikian penipuan Raja Ali Haji tidak dapat disembunyikan
apabila kita melihat petikan seperti berikut:
“….Berjanji
Raja Sulaiman dengan Opu-opu itu, salah satu Opu-opu itu menjadi Yang Dipertua
Muda turun-tumurun.”
Perjanjian
ini sebenarnya adalah perjanjian yang dibuat atas permintaan Opu Bugis Lima
Bersaudara tersebut. Oleh itu, kecondongan atau bais Raja Ali Haji amat jelas
sekali beliau memutar belitkan fakta yang dibuat oleh Opu Bugis itu sendiri.
Seterusnya, pengarang juga dilihat kurang objektif
apabila pengarang cuba menyatakan bahawa suku kaum Melayu ada menyimpan
perasaan dengki terhadap kaum Bugis yang dikatakan rapat dan baik dengan Sultan
Sulaiman. Pengarang cuba mempengaruhi pembaca dengan menyatakan kaum Melayu
tidak baik dan tidak menyebelahi mereka secara halus melalui penulisannya. Hal
ini dapat dibuktikan apabila pengarang menyatakan kaum Melayu termasuk Raja
Terengganu dikatakan membuat fitnah terhadap kaum Bugis untuk menghalau mereka daripada
terus tinggal di Johor-Riau. Pada hakikatnya, Bugis mempunyai agendanya yang
tersendiri. Mereka bukanlah golongan yang berpengaruh seperti yang disangkakan.
Oleh itu, pengarang menerapkan sentimen kebugisan kerana pengarang sendiri
berketurunan Bugis.
Walaupun, penulisan Tuhfat Al-Nafis mempunyai kecondongan
tetapi berdasarkan penulisan pengarang, terdapat juga keobjektifan dalam Tuhfat
Al-Nafis. Hal ini dapat dilihat apabila penulis menghuraikan tarikh yang tepat
bagi segala peristiwa kelahiran, kemangkatan dan pertabalan. Ini adalah
keobjektifan yang sebenar. Pengarang juga ada menghuraikan tentang tarikh
kemangkatan Sultan Mahmud.
“Syahadan
apabila baginda itu mangkat maka segala orang-orang besar negeri Johor pun
mengangkatlah akan Datuk Bendahara menjadi Raja Johor. Adalah mangkatnya pada
Hijrah sanat 1111 pada bulan Safar, hari Jumaat dan menggantikan kerajaanlah
Bendahara Tun Habib, pada delapan hari bulan Rabiul Awal, hari Khamis, waktu
loha dan Raja Sulaiman pun lahir ke dunia pada waktu itu.”
Oleh hal yang demikian, jelas menunjukkan pengarang
menggunakan sumber yang benar dalam penulisannya tanpa condong kepada mana-mana
pihak. Selain daripada sistem pentarikhan, penggunaan ‘aku’ dalam penulisan
pengarang adalah objektif. Hal ini demikian kerana, pengarang berada ditempat
kejadian dan mengalami sendiri kejadian tersebut. Di samping itu, ia
menunjukkan peristiwa itu berlaku di depan mata pengarang sendiri. Situasi ini
dapat dilihat apabila pengarang sendiri menyatakan:
“Demikianlah
khabar dari orang tua entahkah apa ertinya aku pun tak tahu. Wallahua’lam
mana-mana aku lihat dan aku dengar dan aku lihat dalam sejarah itulah yang aku
suratkan.”
Begitulah yang digambarkan oleh penulis tentang kejadian
yang berlaku ketika pengarang berada di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment